Pengeluaran getah asli susut 9.2% pada Mac 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli susut 9.2% pada Mac 2024 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Pengeluaran getah asli menurun 9.2% pada Mac 2024 kepada 26,966 tan metrik berbanding 29,691 tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.8% (Mac 2023: 27,188 tan metrik). Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.5%) berbanding sektor estet (11.5%).

 

Beliau berkata, jumlah stok getah asli pada Mac 2024 menurun 3.3% kepada 222,455 tan metrik berbanding 229,940 tan metrik pada Februari 2024. 

 

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4% diikuti kilang pengguna getah (7.5%) dan estet getah (0.1%).

 

Katanya, eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,965 tan metrik pada Mac 2024, meningkat 7% berbanding Februari 2024 (55,083 tan metrik). 

 

getah

 

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.9% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac 2024 diikuti Jerman (9.3%), Emiriah Arab Bersatu (9.2%), India (6.9%) dan Pakistan (4.5%). Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. 

 

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.14 billion pada Mac 2024, meningkat 3.9% berbanding Februari 2024 (RM1.10 billion)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 8.2% (Mac 2024: 740.37 sen sekilogram; Februari 2024: 684.19 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat sebanyak 5.9% (Mac 2024: 640.54 sen sekilogram; Februari 2024: 604.59 sen sekilogram). 

 

Beliau berkata, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 4.2% hingga 8.1%.

 

"Prestasi suku pertama 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.5% kepada 86,944 tan metrik berbanding 93,956 tan metrik pada suku keempat 2023. 

 

"Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2024 pula mencatatkan peningkatan 3.7% berbanding suku pertama 2023 (83,848 tan metrik)," katanya.- DagangNews.com