Pengguna beralih kepada jenama lain, Nestle diramal terus berdepan persekitaran mencabar pada 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

Pengguna beralih kepada jenama lain, Nestle diramal terus berdepan persekitaran mencabar pada 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Nestle (Malaysia) Berhad diramal terus berdepan persekitaran mencabar pada 2HFY24 kesan peralihan jenama dalam kalangan pengguna, kenaikan harga bahan mentah selain tukaran mata wang asing yang tidak menentu.

 

MIDF Research berkata, selain itu, kumpulan itu juga berdepan beberapa cabaran lain termasuk ketidaktentuan geopolitik dan cuaca yang lebih sejuk daripada negara pembekal bahan mentah.

 

Bagi menangani isu berkenaan, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang melakukan beberapa pendekatan termasuk pelarasan harga untuk beberapa produk bagi mengurangkan kesan kos operasi yang lebih tinggi.

 

 

Selain itu, Nestle juga mula memperjuangkan pilihan produk lebih sihat terutama jenama Milo yang diiktiraf Kementerian Kesihatan sebagai antara minuman paling sihat.

 

"Kekangan bekalan global koko – yang menyebabkan kenaikan harga sebanyak 38% - juga dikurangkan dengan melibatkan diri dalam sumber tempatan melalui Inisiatif Koko Borneo, dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia.

 

"Nestle terus mengurangkan kos luaran kepada harga produk akhir dengan meningkatkan kecekapan proses dalaman dan penggunaan teknologi digital merentas keseluruhan rantaian nilai," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih lebih rendah kepada RM93.6 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM180.92 juta setahun lalu disebabkan jualan yang lebih rendah serta kesedaran membuat pilihan berdasarkan harga.

 

Hasil bagi suku dalam tinjauan jatuh kepada RM1.52 bilion daripada paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.75 bilion pada suku kedua 2023, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam jualan domestik, kata syarikat itu.

 

Bagi separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih Nestle menyusut kepada RM289.11 juta berbanding RM378.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil turut merosot kepada RM3.31 bilion daripada RM3.59 bilion sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pendapatan teras 1HFY24 berada di bawah jangkaan, pihaknya tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan pada ketika ini.

 

Katanya, kumpulan itu akan berdepan beberapa cabaran termasuk kenaikan mendadak dalam harga komoditi terutamanya koko, kopi dan tenusu selain lonjakan kos tenaga yang menganggu rantaian nilai.

 

Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit juga dilihat menjadi cabaran selain permintaan pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan disebabkan tekanan makroekonomi dan inflasi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM126.00 sesaham," katanya.- DagangNews.com