Pengharaman rokok, vape hanya kayakan sindiket jenayah | DagangNews Skip to main content

Pengharaman rokok, vape hanya kayakan sindiket jenayah

KUALA LUMPUR 28 Jan – Langkah Malaysia untuk mengharamkan penjualan semua produk rokok dan vape kepada generasi akan datang hanya membantutkan produktiviti sosio-ekonomi dan memberi manfaat kepada sindiket jenayah terutamanya yang mengedar produk seludup, kata Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia).

 

Kenyataan kumpulan advokasi yang melindungi perniagaan di rantau Asia-Pasifik daripada kelakuan jenayah ini adalah berikutan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Geneva mengenai rancangannya untuk mengharamkan rokok untuk generasi akan datang dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada individu yang lahir selepas tahun 2005.

 

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin berkata, berdasarkan analisis yang dibuat oleh RTBA Malaysia, negara masih belum bersedia untuk mengadaptasi pendekatan New Zealand dalam mengharamkan produk rokok dan vape untuk generasi akan datang.

 

‘’Halangan yang paling utama adalah keberadaan rokok seludup yang sangat tinggi di Malaysia.

 

‘’Hari ini, Malaysia merupakan salah satu negara tertinggi di dunia dalam penyeludupan rokok dengan 57.3% daripada pasaran.

 

‘’Ini telah menyebabkan Kerajaan kehilangan RM5 bilion hasil cukai tidak dikutip setiap tahun.

 

“Bayangkan apakah kesan yang akan diperolehi dari tindakan pengharaman rokok dan produk vape?

 

‘’Sindiket jenayah akan menikmati pasaran monopoli seluruh segmen penduduk yang lahir dari tahun 2005 dan seterusnya! Kesan sosio-ekonomi untuk senario ini tidak dapat dibayangkan!,” tegas Dato’ Fazli.


 

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin

 


Memetik kajian kes baru-baru ini, RTBA Malaysia menjelaskan bahawa Bhutan telah melaksanakan pengharaman penjualan rokok dan larangan merokok di kawasan awam pada tahun 2004.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khairy komited larang penjualan rokok, vape kepada generasi lahir selepas 2005

 

Hasil daripada larangan ini, penyeludupan rokok haram berkembang pesat. Akibatnya, kelaziman merokok kekal tinggi dengan lebih ramai belia terjebak dengan tabiat ini kerana rokok haram mudah didapati dan tidak terkawal.

 

Fazli menegaskan bahawa larangan Singapura secara terang-terangan terhadap e-rokok adalah satu lagi contoh yang baik dalam hal vape.

 

“Walaupun larangan itu telah berkuatkuasa, Penguasa Sains Kesihatan (HAS) melaporkan terdapat 9,738 kes melibatkan pengimportan haram e-vaporiser dan 196 kes melibatkan penjualan produk tersebut dari 2018 hingga 2020.

 

''Singapura adalah negara yang berbangga dengan penguatkuasaan yang ketat, undang-undang dan kelaziman rendah produk haram dalam pasarannya,” tambahnya.

 

Menurut Fazli, sebelum Malaysia boleh mempertimbangkan pengharaman rokok dan produk vape dalam pasarannya, ia perlu menurunkan kelaziman rokok seludup ke tahap yang rendah melalui pembaharuan eksais dan penguatkuasaan yang dipertingkatkan.

 

“Di New Zealand, kelaziman rokok haram adalah di bawah 15%.  Mereka juga mempunyai program berhenti merokok yang ‘advance’ yang merangkumi e-rokok.

 

‘’Walaupun ini adalah faktor membolehkan perlaksanaan untuk dasar Tobacco Generation End Game, hasil inisiatif ini masih jauh dari pasti dan akhirnya mungkin tidak produktif pada kemajuan yang telah dicapainya ke arah matlamat Bebas Asap rokok 2025.

 

‘’Sejarah telah mengajar kita bahawa larangan seumpamanya sering membawa kepada kesan negatif,” ujar beliau. – DagangNews.com