Oleh NURHASLINDA HASHIM dan MUNIRAH MOHAMED
MENURUT Kementerian Kesihatan Malaysia, endemik bermaksud kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat.
Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada awal bulan Oktober, dunia ketika ini telah menuju ke arah hidup bersama pandemik COVID-19 dan menghadapinya sebagai satu realiti endemik.
Pelbagai reaksi keterujaan dan kerisauan disuarakan oleh masyarakat terutamanya di saluran media sosial. Keterujaan dapat dilihat apabila rakyat mula merancang percutian setelah kebenaran merentas negeri diumumkan.
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah menganggarkan berlakunya peningkatan tempahan hotel dan penginapan di beberapa tempat pelancongan terkenal antaranya di Ipoh, Perak; Port Dickson, Negeri Sembilan; Pulau Pinang, dan Pulau Langkawi, Kedah.
Namun kerisauan rakyat juga timbul apabila ada dalam kalangan yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Lebih merisaukan sekiranya rakyat gagal mengawal keterujaan yang akhirnya membebani mereka terutamanya dari segi kewangan dalam jangka masa pendek.
Realiti endemik ini memerlukan rakyat membuat persediaan terperinci dari segi perancangan kewangan.
Sejak berlakunya penularan COVID-19, kesedaran terhadap penjagaan kesihatan diri semakin meningkat.
Langkah pencegahan yang disarankan oleh KKM seperti pemakaian pelitup muka telah menjadi norma baharu.
Ia adalah perkara penting di dalam rutin harian Keluarga Malaysia. Peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dari Fasa 3 ke Fasa 4, menitikberatkan keperluan pemakaian pelitup muka.
Di Fasa 4, pelajar mula kembali ke sekolah, dan kehadiran pekerja perlu 100 peratus bekerja di pejabat.
Perbelanjaan dalam membeli pelitup muka serta barangan penjagaan kesihatan yang lain seperti suplemen Vitamin C, kit ujian kendiri COVID-19, Hand Sanitizer, peranti kesihatan oximeter, termometer suhu badan digital adalah penting.
Oleh itu rakyat perlu merancang perbelanjaan barangan kesihatan bersesuaian dengan kemampuan kewangan masing-masing.
Selain dari perbelanjaan barangan kesihatan, pengurusan kewangan yang baik adalah asas penting dalam merancang perbelanjaan bagi membayar komitmen bulanan.
Antara komitmen bulanan yang perlu kita utama kan ialah barangan keperluan harian, bayaran utiliti dan bayaran pinjaman peribadi, rumah atau kereta.
Rakyat perlu mengelakkan perbelanjaan yang berlebihan untuk barangan keperluan harian samada pembelian secara konvensional ataupun secara atas talian.
Perbandingan harga digalakkan sebelum pembelian agar kita dapat membeli dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Ia juga untuk mengelakkan pembaziran dan pembelian secara boros.
Seterusnya apabila membuat sebarang pembelian, kita harus berhati hati dengan taktik penjual dalam melariskan barangan jualan mereka.
Kerajaan telah banyak memberikan bantuan kewangan kepada rakyat, dan yang terkini adalah Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 kepada mereka yang kehilangan sumber pendapatan.
Walaubagaimanapun, rakyat perlu mempunyai simpanan yang kukuh bagi menghadapi sebarang kecemasan seperti kehilangan sumber pendapatan dan kemalangan.
Di fasa endemik, COVID-19 dijangka akan berterusan pada kadar yang stabil serta rendah. Namun kita perlu sentiasa berhati hati dan bersedia mengharungi musibah tersebut.
Pelbagai kesan negatif akan wujud sekiranya kita tidak mempunyai simpanan. Salah satunya ialah bebanan hutang akan meningkat sehingga mencetuskan pelbagai masalah lain. Contohnya mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan hutang dengan menambah pinjaman.
Tindakan ini boleh mengakibatkan peminjam bakal menjadi bankrap apabila gagal menyelesaikan hutang. Data dari Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan jumlah kes kebankrapan dari Januari sehingga Jun 2021 adalah sebanyak 3,684 kes.
Dengan itu, kesedaran untuk menyimpan wang perlu disebarkan dengan cepat dan mudah di akses seperti melalui saluran media sosial.
Oleh yang demikian, perancangan kewangan diri yang baik dapat mengukuhkan ekonomi keluarga sekali gus menyokong dan merancakkan ekonomi negara.
Perancangan kewangan jangka masa pendek yang utama tertumpu kepada penjagaan kesihatan, komitmen bulanan dan simpanan kecemasan. – DagangNews.com
Nurhaslinda Hashim dan Munirah Mohamed merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka