Perdana Menteri kagum dengan bakat insan istimewa dalam konsert mini 'Kau dan Aku' | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri kagum dengan bakat insan istimewa dalam konsert mini 'Kau dan Aku'

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan perasaan kagum dengan bakat-bakat yang dipersembahkan insan istimewa dalam konsert mini 'Kau dan Aku' bersempena dengan Hari OKU Sedunia, malam tadi.

 

Beliau berbangga apabila dapat meluangkan masa melihat persembahan itu dan mengakui bakat yang dipersembahkan itu amat menyentuh jiwa.

 

"Sesungguhnya insan orang kurang upaya amat istimewa kerana mereka sebenarnya dianugerahkan bakat yang tidak dimiliki oleh semua. Mereka juga adalah amanah buat kita.

 

"Terima kasih atas kesungguhan dan kerajinan yang tidak berbelah bagi. Saya doakan semoga insan-insan istimewa berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi," katanya menerusi lama Facebook rasminya.

 

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun serta Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Rais Yatim.

 

Konsert yang berlagsung di Pusat Seni Persembahan Damansara itu merupakan anjuran Persatuan OKU Sentral turut mempamerkan beberapa seni lukisan serta kraftangan yang dihasilkan oleh para artis dalam kalangan OKU.

 

pml

 

Persembahan yang diadakan selama tiga hari itu melabuhkan tirainya semalam dengan persembahan nyanyian, tarian serta alunan alat muzik daripada golongan istimewa itu. 

 

5as

 

Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut membuat persembahan dengan menyampaikan beberapa lagu termasuk ‘Teratai’, ‘Tunggu Sekejap’ dan ‘Stand by me’.

 

Acara selama tiga hari itu diadakan bersempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa (IDPD) yang akan disambut esok. - DagangNews.com