Perjanjian kerajaan dengan Spanco masih berkuat kuasa, kata MOF | DagangNews Skip to main content

Perjanjian kerajaan dengan Spanco masih berkuat kuasa, kata MOF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Perjanjian kerajaan dengan Spanco Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan masih berkuat kuasa, kata Kementerian Kewangan.

 

Dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 12 Mac 2024, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan sentiasa memastikan kontrak perolehan Spanco untuk membekal, menyelenggara dan mengurus kenderaan kerajaan dilaksanakan mengikut keperluan, serta mematuhi prosedur perolehan dan menjalani semua usaha wajar yang diperlukan.

 

"Setakat ini, kontrak itu masih berkuat kuasa berdasarkan terma yang dipersetujui antara kerajaan dan Spanco,” kata kementerian itu bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong).

 

Lip Eng mengemukakan soalan kepada Kementerian Kewangan sama ada kontrak bersama Spanco tidak memberi manfaat kepada negara dan jika penamatan kontrak adalah wajar sekiranya ia merugikan.

 

Spanco telah memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1993.

 

Apabila kontrak berakhir pada 2019, tender terbuka telah dilancarkan, dan surat hasrat (LOI) telah diberikan kepada konsortium yang dibentuk oleh Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd.

 

Bagaimanapun, LOI berkenaan ditamatkan pada 2020, dan tender telah diberikan kepada Spanco sekali lagi.

 

Spanco kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana timbul persoalan kenapa ia masih diberi tugas untuk menguruskan kenderaan kerajaan.

 

Pada Januari 2024, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bekas menteri kewangan, ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan pegawai penting kerajaan adalah antara senarai panjang individu yang akan dipanggil dalam siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion. - DagangNews.com