Persetujuan percepat pembangunan SEZ, RHB Investment jangka pemaju hartanah terima manfaat besar | DagangNews Skip to main content

Persetujuan percepat pembangunan SEZ, RHB Investment jangka pemaju hartanah terima manfaat besar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Persetujuan Malaysia dan Singapura bagi mempercepatkan pembangunan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor - Singapura dijangka memberi manfaat besar kepada kepada pemaju hartanah yang memiliki bank tanah di Tambak Johor dan Link Kedua Tuas.

 

RHB Investment berkata, ia juga memberi manfaat kepada semua kerana tumpuan utama terarah kepada kemudahan pergerakan orang ramai dan barangan.

 

Katanya, kesalinghubungan yang lebih besar dan aktiviti perindustrian seharusnya membawa kepada permintaan yang lebih tinggi untuk hartanah kediaman dan komersial pada masa hadapan.

 

"Kami berpandangan positif terhadap hasil daripada pertemuan di antara Malaysia dan Singapura.

 

"Pemimpin keduda-dua negara menekankan matlamat untuk melancarkan perjalanan orang ramai dan pengangkutan barangan. 

 

"Antara syarikat yang dijangka mendapat manfaat yang besar termasuk UEM Sunrise, Sunway dan AME Elite Consortium," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kedua-dua kerajaan mengumumkan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai SEZ akan ditandatangani pada 11 Januari 2024 dengan kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Bersama Menteri Iskandar Malaysia (JMCIM) bagi mengenal pasti fokus zon berkenaan terutamanya terhadap minat pelabur dan permintaan pasaran.

 

SEZ akan menambah baik aliran barangan antara kedua-dua negara, ia memerlukan pengaturan cukai khas dan gudang.

 

Kajian itu juga harus mencari aliran yang lebih mudah bagi mereka yang akan bekerja di kedua-dua belah pihak dengan syarikat pelabur yang ingin menyediakan gabungan kakitangan termasuk pekerja profesional dan mahir serta pekerja am.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor hartanah di negeri itu. - DagangNews.com