Pertumbuhan pembiayaan bank diunjur 4-5% pada 2021 | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pembiayaan bank diunjur 4-5% pada 2021

 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Industri perbankan di negara ini dijangka mencatat pertumbuhan pembiayaan antara 4 hingga 5% tahun ini, menurut AmInvestment Bank. 

 

Penganalisisnya, Kelvin Ong berkata, kadar ini didorong pertumbuhan pantas menerusi pembiayaan isirumah dan bukan isirumah.

 

"Ini juga akan didorong oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang antara 6.5 hingga 7% memandangkan aktiviti dagangan dan penggunaan swasta semakin bertambah baik," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan overweight bagi sektor perbankan dengan pendapatan industri pulih lebih pantas disokong pendapatan teras yang kukuh dan peruntukan lebih rendah. 

 

Menurut beliau, pendapatan teras sektor dijangka pulih dan berkembang 16.1% pada tahun ini selepas mengalami penguncupan sehingga 22.2% pada 2020. 

 

"Peningkatan pertumbuhan pembiayaan, margin faedah bersih (NIM) yang stabil, peruntukan lebih rendah dan perbelanjaan operasi terkawal akan terus menyokong pendapatan bagi sektor ini," katanya. 

 

Pendapatan pada tahun lalu terjejas akibat margin faedah yang singkat apabila langkah pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) dibuat berturut-turut sebanyak 125 mata asas.  

 

"Tetapi, persekitaran kadar faedah rendah ini dijangka berterusan sehingga tahun ini dengan tiada lagi pengurangan OPR. 

 

"Langkah ini dilihat akan menyokong pemulihan ekonomi dan kami tidak melihat sebarang persaingan sengit deposit bertambah tahun ini," katanya. 

 

Tanpa pengurangan OPR, Ong percaya margin faedah bank berada di landasan pemulihan selepas liabiliti berulang pada suku keempat 2020 dan suku pertama 2021. 

 

Secara keseluruhan, NIM pada tahun ini dijangka stabil dan mencatat peningkatan berbanding 2020. 

 

Mengenai aset perbankan pula, bank pelaburan itu menjangkakan institusi perbankan akan berdepan kualiti aset yang lemah pada tahun ini. 

 

"Oleh itu, kita berharap bantuan bayaran bersasar dapat membantu mengekalkan kualiti aset perbankan atau nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sehingga 30 Jun 2021," katanya. 

 

Fitch Ratings dalam laporannya semalam meletakkan prospek negatif kepada bank-bank global pada tahun ini. 

 

Penarafan itu mencerminkan risiko penurunan terhadap senario asas berikutan pemulihan ekonomi yang kemungkinan lebih perlahan akibat wabak COVID-19 pada 2020.  

 

Malah, agensi antarabangsa itu juga meletakkan penarafan negatif kepada sektor perbankan di Malaysia manakala prospek sektor adalah stabil. 

 

Isu utama yang membelenggu sektor perbankan di negara ini adalah pengikirafan pinjaman tidak berbayar, keuntungan rendah dan risiko pasaran hartanah. - DagangNews.com