KUALA LUMPUR 12 Julai - Pesawat pertama Malaysia Airlines A330neo yang selesai menjalani proses mengecat badan di bengkel cat Airbus di Toulouse, Perancis baru-baru ini, dengan megah mempamerkan livery bendera Malaysia atau Jalur Gemilang, simbol utama syarikat penerbangan negara ini.
Dengan siapnya fasa mengecat, ia juga menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pengeluaran pesawat tersebut.
Pesawat tersebut seterusnya akan dipasang enjin Rolls-Royce Trent 7000 yang canggih dan menjalani ujian prestasi sebagai persediaan untuk penerbangan pertamanya.
Pada tahap ini, semua sistem kabin juga akan diuji dengan teliti. Ini termasuk pemeriksaan menyeluruh aliran udara dan penyaman udara, pencahayaan, dapur, tandas, tempat duduk, dan sistem hiburan dalam penerbangan.
Serentak itu, Airbus akan menjalankan ujian prestasi umum lanjutan bagi memastikan pesawat tersebut memenuhi semua spesifikasi dan sedia untuk penyerahan.
Malaysia Airlines dijangka menerima pesawat A330neo pertamanya pada suku ketiga tahun ini.
Pengenalan A330neo merupakan komponen penting dalam strategi pembaharuan armada Malaysia Aviation Group (MAG), yang bermula pada 2022 dengan pemilihan 20 buah pesawat A330neo.
Pesawat A330neo Malaysia Airlines akan berkhidmat laluan merentasi Asia, Oceania dan Timur Tengah. - DagangNews.com