Petronas jalin dua perjanjian dengan ExxonMobil teruskan projek CCS di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Petronas jalin dua perjanjian dengan ExxonMobil teruskan projek CCS di Malaysia

Emry Hisham Yusoff (duduk kiri) dan Shane Harris (duduk kanan) memeterai perjanjian sambil disaksikan Datuk Adif Zulkifli (kiri) serta Irtiza Sayyed (kanan).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Petronas memeterai dua Perjanjian Pembangunan Projek dengan ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (ExxonMobil) untuk meneruskan projek perolehan dan penyimpanan karbon (CCS) di Malaysia.

 

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan menentukan langkah seterusnya termasuk skop kerja teknikal bagi rantaian nilai CCS, penilaian bidang bagi penyimpanan karbon (CO2) dan pembangunan rangka kerja komersial.

 

Perjanjian itu juga menyaksikan mereka bakal menubuhkan pelan advokasi mengenai peraturan serta pembangunan dasar dalam menjayakan projek CCS.

 

Ketua Pengurusan Karbon Petronas, Emry Hisham Yusoff berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan ExxonMobil bagi meneruskan projek CCS selain menyelaraskan aspirasi bersama dalam menyampaikan penyelesaian tenaga dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan.

 

"Kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen Petronas dalam menyediakan penyelesaian nyahkarbon sejajar dengan aspirasi kami dalam mewujudkan Malaysia sebagai hab CCS terkemuka di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perjanjian itu disempurnakan oleh Emry bersama Presiden ExxonMobil, Shane Harris dan disaksikan oleh Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Datuk Adif Zulkifli serta Presiden Penyelesaian Karbon Rendah ExxonMobil Asia Pasifik, Irtiza Sayyed.

 

Hadir sama, Naib Presiden Penyelesaian Karbon Rendah ExxonMobil Asia Pasifik, Tracy Lothian.

 

Perjanjian itu adalah susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada November 2021.

 

Ia juga sebahagian daripada langkah Petronas untuk membina portfolio yang mampan dengan penyelesaian inovatif dalam menghasilkan tenaga secara bertanggungjawab, menyokong peralihan kepada karbon yang lebih rendah melalui kerjasama dengan rakan kongsi industri. - DagangNews.com