KUALA LUMPUR 6 Jun - PJD Link (M) Sdn. Bhd. (PJD Link) iaitu pemegang konsesi bagi cadangan Petaling Jaya Dispersal Link Expressway (Lebuhraya PJD Link) memperoleh pembiayaan berjumlah RM922 juta sebagai sebahagian daripada pembiayaan yang diperlukan untuk pembinaan lebuh raya itu.
PJD Link menandatangani Perjanjian Utama (HOA) dengan MCC Overseas (M) Sdn. Bhd. (MCC Malaysia) iaitu anak syarikat China Metallurgical Group Corporation (Kumpulan MCC) semasa Forum Pelaburan dan Pembinaan Infrastruktur Antarabangsa ke-14 (IIICF) yang dihoskan bersama oleh Persatuan Kontraktor Antarabangsa China dan Institut Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Macau pada 1 Jun 2023.
Kumpulan MCC merupakan sebuah konglomerat kejuruteraan pembinaan besar yang tersenarai di bursa saham Shanghai dan Hong Kong.
Majlis itu disaksikan oleh Presiden MCC International Incorporation Ltd., Yang Roubing; Kerajaan Macau, ahli-ahli penting Persatuan Kontraktor Antarabangsa China dan Ketua Pegawai Eksekutif Scomi Energy Services Berhad, Amirul Baharom.
Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link, Amrish Hari Narayanan, berkata, pihaknya kini dapat bergerak ke hadapan dengan baki fasa kewangan projek itu termasuk menaikkan bahagian baki kos projek melalui pasaran sukuk.
"Keupayaan untuk membiayai projek itu adalah salah satu daripada syarat terdahulu di bawah Perjanjian Konsesi, selain mendapatkan kelulusan untuk laporan Kesan Sosial, Alam Sekitar dan Trafik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menerusi HoA, MCC Malaysia akan dilantik sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) Lebuhraya PJD Link.
Lebuhraya PJD Link ialah lebuh raya berkembar (empat lorong) sepanjang 25.4 km, dua lorong yang akan bermula selepas Plaza Tol NKVE di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.
Projek infrastruktur utama ini bertujuan untuk menambah baik kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Setelah siap, Lebuhraya PJD Link akan memainkan peranan penting dalam menyuraikan kesesakan lalu lintas kerana ia menyediakan sambungan utama dengan enam lebuh raya utama yang termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), lebuh raya SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Bukit Jalil.
PJD Link menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan pada 5 April 2022. - DagangNews.com