PKP 2.0, darurat tidak halang pelabur asing beli ekuiti | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0, darurat tidak halang pelabur asing beli ekuiti

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Di sebalik pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat yang diumumkan minggu lalu, pasaran ekuiti tempatan masih menjadi tarikan kepada pelabur asing. 

 

CGS-CIMB mendapati pelabur asing muncul pembeli terbesar ekuiti sebanyak RM326 juta dan menjadi pelabur utama bagi tempoh 3 daripada 4 minggu sebelumnya. 

 

Penganalisisnya, Ivy Lee Fang berkata, ia menunjukkan petanda yang baik dalam pasaran ekuiti Malaysia walaupun indeks FBM KLCI susut sehingga 0.4% minggu lalu susulan pengumuman itu. 

 

Pelabur asing lebih cenderung memilih saham-saham berkaitan perbankan dan teknologi manakala 3 saham utama menjadi perhatian mereka ialah Top Glove, Public Bank dan Inari. 

 

"Sebanyak RM186.5 juta saham berkaitan perkhidmatan kewangan dibeli pelabur asing diikuti teknologi sebanyak RM72 juta dan perladangan (RM69 juta). 

 

"Dalam masa sama, mereka juga kekal penjual bersih bagi saham penjagaan kesihatan sebanyak RM69 juta," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, pelabur asing muncul pembeli bersih saham-saham dalam ekuiti tempatan hanya 8 minggu daripada 53 minggu dagangan sepanjang tahun lalu. 

 

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan PKP 2.0 dilaksanakan di 6 negeri pada Isnin diikuti perintah darurat pada keesokannya bagi mengawal penularan wabak COVID-19. 

 

Berdasarkan analisis firma penyelidikan itu, pasaran jatuh 6.2 mata manakala jumlah purata dagangan harian susut 9.7% minggu ke minggu kepada 7.05 juta unit. 

 

Nilai dagangan purata harian juga jatuh 4% minggu ke minggu kepada RM5.16 bilion ekoran kebimbangan pelaksanaan PKP 2.0. 

 

Lee Fang berkata, nilai dagangan pelabur runcit merekodkan peningkatan 2.8% kepada 36.6% manakala pelabur institusi meningkat 1.8% kepada 27.2%. 

 

Bagaimanapun, nilai dagangan hak milik susut 3% kepada 17.7% dan penama susut 1.6% kepada 18.5%.  

 

"Sepanjang minggu lalu, pelabur asing, penama dan runcit merupakan pembeli utama ekuiti manakala pelabur institusi dan hak milik adalah penjual utama ekuiti. 

 

"Pelabur asing mengambil alih kedudukan pelabur runcit sebagai pembeli terbesar dan membeli bersih ekuiti bagi tempoh 3 hari pertama minggu lalu," katanya. - DagangNews.com