PKP 2.0 tidak jejas unjuran pertumbuhan pinjaman 4-5% RHB | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 tidak jejas unjuran pertumbuhan pinjaman 4-5% RHB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 April - RHB Bank Berhad membayangkan pihaknya masih lagi optimis terhadap sasaran pertumbuhan pinjaman bagi tahun kewangan 2021 (FY21), antara 4% hingga 5% walaupun menerima cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. 

 

Berkongsi kepada Kenanga Research, Ketua Pegawai Kewangan RHB, Nik Rizal Kamil menjelaskan bank itu berjaya mengharungi PKP 2.0 pada Januari hingga Februari 2021 memandangkan sekatan pergerakan tidak terlalu ketat berbanding PKP 1.0. 

 

“Ini bermakna, permohonan pinjaman menyaksikan sedikit penurunan tetapi tidak menjejaskan sasaran pertumbuhan pinjaman kumpulan sebanyak 4% hingga 5% dengan harapan aktiviti ekonomi bertambah baik dalam suku-suku tahun akan datang. 

 

“...(Ini) dipacu oleh jangkaan gadai janji lebih tinggi, pembiayaan kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta sumbangan (perniagaan di) Singapura,” jelas penganalisis di Kenanga, Clement Chua dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Tambah Chua, Kenanga optimis terhadap prospek jangka pendek RHB dan percaya rizab modal kumpulan masih kukuh dalam landskap semasa.

 

Sehubungan itu, firma itu mengekalkan penarafan ‘outperform’ dan sasaran harga (TP) saham RHB pada kadar RM6.25, kata Chua lagi. 

 

Secara keseluruhannya, Chua berkata, firmanya memilih RHB berdasarkan nisbah CET-1 bank tersebut pada kadar 16.2% yang membolehkan kumpulan melaksanakan strategi pengurusan modal lebih besar. 

 

Bagaimanapun, Chua menjelaskan, jangkaan dividen diturunkan pada tahap sederhana buat masa ini memandangkan RHB masih lagi menunggu Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) diluluskan oleh Mesyuarat Agung kumpulan menjelang Mei ini.

 

“Buat masa ini, kami hanya mengambil kira unjuran pembayaran kira-kira 40% di mana masih mendatangkan kadar hasil pulangan dividen hampir 5%, kedua terbaik daripada pesaingnya,” tambah Chua. 

 

Setakat 11.48 pagi, nilai saham RHB menokok 1 sen atau 0.19% kepada RM5.30. - DagangNews.com