PKPD hanya libatkan 5,700 pekerja Top Glove, bukan 13,190 | DagangNews Skip to main content

PKPD hanya libatkan 5,700 pekerja Top Glove, bukan 13,190

PKPD asrama Top Glove

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) menjelaskan hanya 5,700 pekerja yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua asrama pekerjanya yang terletak di Klang, Selangor.

 

Top Glove berkata, angka itu adalah jumlah sebenar berbanding 13,190 pekerja seperti yang dilaporkan semalam.

 

"Top Glove ingin menjelaskan bahawa PKPD yang dijalankan selama 14 hari bermula 17 hingga 30 November 2020 hanya melibatkan seramai 5,700 pekerja di Meru, Klang.

 

"Dan bukannya 13,190 pekerja seperti yang dilaporkan," jelas Top Glove dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja lelaki dan wanita syarikat berkenaan.

 

Pelaksanaan PKPD di asrama Top Glove bermula hari ini hingga 30 November 2020.
Pelaksanaan PKPD di asrama Top Glove Klang bermula hari ini hingga 30 November 2020.

 

Selain asrama, perintah berkenaan turut dikenakan kepada Jalan Abadi 1A/KU8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8.

 

Laporan berkenaan memberitahu, kawasan yang dikenakan PKPD itu melibatkan seramai 13,190 pekerja Top Glove dan hampir 1,200 penduduk di kawasan berkenaan.

 

Baca: Asrama pekerja Top Glove Klang dikenakan PKPD bermula esok

 


DagangNews.com turut melaporkan ramalan yang dibuat penganalisis berkaitan penurunan kapasiti pengeluaran sarung tangan syarikat berkenaan susulan pelaksanaan PKPD.

 

Baca: PKPD: Pengeluaran Top Glove dijangka terjejas hingga 15%

 

Mengulas lanjut, Top Glove turut memberitahu, jumlah kakitangan 5,700 yang terlibat itu mewakili sekitar 27% daripada 21,000 jumlah tenaga kerja.

 

Sebahagian besar pekerja syarikat berkenaan bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang gejala COVID-19.

 

"Kilang kami di Meru, Klang akan terus beroperasi dengan kapasiti yang lebih rendah.

 

"Pekerja yang tidak terlibat dengan PKPD pula akan bertugas dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," jelas Top Glove lagi. - DagangNews.com