PLUS, Petronas Dagangan jalin kerjasama bina stesen super hibrid pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

PLUS, Petronas Dagangan jalin kerjasama bina stesen super hibrid pertama di Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai 2024: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Petronas Dagangan Berhad untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha membangunkan stesen hibrid komersial yang pertama di lebuh raya Malaysia.

 

Pembangunan stesen super hibrid itu merupakan penanda aras perkhidmatan lebuh raya dan memberikan lebih keselesaan dan pilihan kepada pengguna.

 

Menurut PLUS dan Petronas Dagangan, stesen super hibrid yang bakal dibina di lebuh raya menyediakan perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar termasuk stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk pengguna kenderaan elektrik (EV).

 

"Selain itu, stesen hibrid itu turut menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang lebih selesa seperti perkhidmatan runcit serta ruang makanan," katanya dalam kenyataan media bersama hari ini.

 

 

Kata kenyataan itu, Lembah Klang dikenal pasti sebagai lokasi perintis untuk pembangunan fasiliti hibrid ini. Dengan keluasan lebih daripada 30,000 kaki persegi, ia menyasarkan pembangunan untuk menyediakan fasiliti yang lengkap dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

 

"Kejayaan projek ini berpotensi membuka ruang untuk pengembangan perkhidmatan lebih meluas di seluruh negara," jelasnya.

 

Majlis pemeteraian MoU projek berkenaan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Hasnol Zam Zam Ahmad.

 

Beliau berkata, “Kerjasama strategik PLUS dan Petronas Dagangan ini merupakan salah satu projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat, khususnya pengguna lebuh raya.

 

"Dengan wujudnya Stesen Super Hibrid, rakyat yang menggunakan lebuh raya bakal menikmati perjalanan yang lebih selesa," katanya.

 

Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Zahrul Hakim Abdullah, Pengerusi PLUS, Mohamed Nasir Ab Latif, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Sazali Hamzah, Pengarah Pemantauan Operasi, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Mohd Shahrir Amin Ahmad, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, PLUS dan Petronas Dagangan.

 

Pembangunan stesen hibrid itu juga memberi penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan yang efisien tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

 

Sebagai salah satu mercu mercu tanda terbaharu di lebuh raya, stesen hibrid itu bakal menjadi destinasi tersendiri dan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih baik.

 

Pengarah Urusan PLUS, Nik Airina Nik Jaffar berkata, “Sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia dan rakan strategik negara, PLUS komited untuk menghubungkan komuniti bagi mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari. PLUS dengan sokongan KKR, LLM dan pemain industri utama memainkan peranan dalam mengintegrasikan prinsip inovatif dalam operasi kami untuk membangunkan ekosistem lebuh raya pintar dan lestari.”

 

“Pembangunan stesen super hibrid ini akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara. Selain itu, penyediaan stesen hibrid ini juga dapat memperluaskan kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambahbaik pengalaman pengguna lebuh raya, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan mereka.”

 

Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber kedua-dua pihak, ia boleh membantu untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dan kemudahan kepada pengguna lebuh raya dengan lebih efisien. Pembangunan stesen hibrid ini juga menandakan satu pencapaian penting bagi menyediakan infrastruktur yang lebih lestari dan berfokus kepada pengalaman perjalanan pengguna yang lebih baik sepanjang Lebuhraya PLUS.

 

Mengulas tentang kerjasama ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, “Kami sentiasa meneroka peluang untuk menambah baik pengalaman pelanggan selari dengan komitmen syarikat untuk menjadikan kehidupan lebih mudah dan bermanfaat. Setiap touch point Stesen Super Hibrid ini akan direka bentuk dengan mengambil kira trend serta keperluan pelanggan. Kami yakin kolaborasi antara Petronas Dagangan dan PLUS akan meningkatkan keselesaan, kemudahan dan inovasi berfokuskan pelanggan, yang akan mengubah pengalaman pelanggan di lebuh raya.”

 

Secara keseluruhan, fasiliti stesen hibrid baru ini bakal memberi nafas baharu kepada konsep stesen minyak, mengintegrasikan perkhidmatan bahan api yang menyeluruh termasuk EV,  memberi kemudahan awam yang selesa, serta pendekatan amalan lestari yang lebih hijau.  - DagangNews.com