KUALA LUMPUR 31 Jan - Kenanga Research menjangkakan PPB Group Berhad mecatatkan keuntungan bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
Firma itu berkata, untung selepas cukai dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi 9MFY22 masing-masing RM1.8 bilion dan RM1.78 bilion mengatasi rekod FY07 sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.6 bilion disokong oleh Wilmar International (WIL).
"Pendapatan daripada operasi kumpulan itu sendiri kembali bangkit semula pada 2QFY22 dengan momentum pemulihan semakin pantas pada 3QFY22.
"Walaupun sumbangan 4QFY22 daripada WIL seharusnya mengimbangi kesan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) namun secara keseluruhannya pendapatan yang kukuh bagi FY22 boleh dijangka," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, operasi bukan perladangan seperti pengilangan tepung dan makanan ternakan, perniagaan tani, pawagam dan hartanah masih menghadapi masalah bekalan dan margin keuntungan walaupun pekara itu semakin berkurangan.
Katanya, permintaan untuk tepung dan makanan suapan adalah sihat tetapi keputusan menaikkan harga jualan untuk mengimbangi kos input yang lebih tinggi memerlukan masa untuk pulih walaupun margin keuntungan kekal lemah pada FY23.
Firma itu berkata, margin keuntungan produk pengguna telah meningkat sejak 2QFY22.
"Produk sedia untuk dimakan tertakluk kepada pemantauan harga yang kurang ketat dan unit itu juga mengedarkan barangan yang tidak penting seperti peralatan mandian, produk pembersih dan beberapa makanan tambahan.
"Kami menjangkakan margin akan terus pulih dalam tempoh 12-24 bulan akan datang," katanya.
Selepas mengalami kerugian tahunan lebih RM100 juta sejak dua tahun lalu, firma itu berkata, Golden Screen Cinemas (GSC) mula pulih selepas waktu operasi dinormalkan pada April 2022.
GSC juga telah mengambil alih 18 pawagam daripada MBO pada September 2021.
"Pendapatan dijangka terus meningkat apabila GSC memperhalusi lokasi pawagamnya dan menawarkan Teater Aurum premium,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM19.30 berbanding RM18.60. - DagangNews.com