Reporters Without Borders (RSF) melaporkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.
Prestasi Malaysia merosot 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekaligus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.
Situasi ini meletakkan Malaysia pada kedudukan kedua bagi negara ASEAN selepas Thailand yang berada pada tangga ke-87 dalam indeks tersebut.
Ia diikuti dengan kedudukan ketiga iaitu Indonesia di tangga ke-111, Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).
BACA: Penarafan kebebasan akhbar Malaysia menjunam ke tangga 107 dalam penilaian pertama di bawah kerajaan Anwar
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dalam reaksi terhadap laporan RSF menyatakan bahawa penurunan kedudukan negara didorong oleh faktor tindakan kerajaan dalam menapis dan menyekat hantaran atau perkongsian yang menyentuh sentimen 3R (agama, raja dan kaum).
Manakala, Amnesty International mendakwa kebebasan bersuara di Malaysia merosot selepas lebih setahun kerajaan perpaduan berkuasa.
Laporan tersebut juga menyebut campur tangan pemerintah dalam bidang media. Meskipun pada mulanya terdapat langkah-langkah positif untuk menggalakkan kebebasan media, seperti penghapusan akta-akta yang mengongkong media, namun perkembangan ini belum mencapai taraf yang memuaskan.
Contohnya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk memantau dan mengawal kandungan media.
BACA: Johan Jaaffar ingatkan kerajaan jangan guna undang-undang lapuk sekat kebebasan media
Melihat laporan-laporan ini, kita perlu memikirkan kaedah yang holistik dalam meningkatkan kebebasan dan fungsi media sebagai The Fourth Estate yang berperanan sebagai pengimbang antara kuasa legistaif, (perundangan), eksekutif dan dan kehakiman.
Pihak kerajaan perlu senantiasa bekerja sama dengan pengamal media dan ahli akademik untuk memastikan garis panduan dipatuhi tanpa menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja- raja melayu.
Selain itu , untuk meningkatkan kebebasan media , penting bagi Malaysia untuk meningkatkan kesedaran rakyat dan pengamal media untuk memastikan ‘kebebasan yang di dambakan tidak di salah guna.
Ini termasuk melakukan reformasi yang menyeluruh dalam bidang media. Langkah-langkah yang perlu diambil termasuk memperkuatkan undang-undang untuk melindungi kebebasan media, menghapuskan sebarang undang-undang yang boleh disalahgunakan untuk menindas media, serta memastikan bahawa wartawan dan pengamal media dilindungi daripada tekanan politik atau ancaman.
Selain itu, pendekatan kolaboratif antara pihak kerajaan, industri media, dan masyarakat awam juga penting untuk memastikan kebebasan media yang seimbang dan berkualiti.
Ini termasuk menggalakkan dialog terbuka antara semua pihak berkepentingan dan membangunkan kod etika yang mengiktiraf kepentingan kebebasan media sambil memastikan integriti dalam melaporkan berita.
Dalam konteks global yang semakin kompleks ini, penting bagi Malaysia untuk terus berusaha meningkatkan kebebasan media sebagai satu asas demokrasi yang kukuh.
Hanya dengan memastikan akses yang bebas kepada maklumat dan memelihara ruang untuk perbincangan dan perbezaan pendapat selagi dilakukan dengan hormat dan hemat, Malaysia dapat memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif bagi semua lapisan masyarakatnya.
Untuk meningkatkan ranking dan memperbaiki mekanisme kebebasan media tanpa menyentuh sensitiviti kaum, agama, mahupun institusi raja, pelbagai cadangan boleh diambil kira.
Antara cadangan yang mungkin termasuk memperkuat perlindungan undang-undang terhadap kebebasan media, memastikan kepemilikan media yang lebih seimbang dan berpecah kepada pelbagai pemilik yang berbeza, dan memperkenalkan dasar-dasar yang menggalakkan transparansi dan akauntabiliti dalam industri media.
Selain itu, pembinaan kesedaran awam mengenai pentingnya kebebasan media dalam sebuah masyarakat demokratik juga penting. Ini boleh dilakukan melalui pendidikan dan kempen-kempen kesedaran awam yang memberi tumpuan kepada nilai-nilai seperti pluralisme, kebebasan berekspresi, dan akses kepada maklumat yang berkualiti.
Selain itu, melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti media, kerajaan, masyarakat sivil, dan badan-badan antarabangsa dalam perbincangan dan perundingan untuk mencari penyelesaian yang bersepadu juga boleh memberikan impak yang positif dalam meningkatkan kebebasan media di Malaysia.
Keterbukaan kerajaan Malaysia mengadakan rundingan serta perbincangan bagi menangani berita palsu atau penyebaran maklumat tidak benar di negara ini bersama badan berwenang seperti Reporters Without Borders (RSF) amat dialu-alukan bagi meningkatkan kefahaman perbedaan dan persamaan lanskap media di malaysia berbanding negara lain.
Dengan memetik laporan BERNAMA baru - baru ini sebagai contoh Menteri Komunikasi menyatakan kegusaran beliau bahawa terdapat beberapa pihak yang sengaja memainkan isu 3R selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Hadirnya cabaran mutakhir yang melanda landskap media kini, satu pendekatan holistik melibat urus input pelbagai pihak perlu diambil kira bagi membantu semua pihak terlibat menjadikan lanskap media Malaysia menjadi lebih progresif dan berwibawa. - DagangNews.com