KUALA LUMPUR 17 Sept - Program BeDigital Bootcamp anjuran Petronas telah memperkasakan 860 pelajar secara digital dengan 276 pemadanan pekerjaan yang berjaya sejak ia mula diperkenalkan pada 2022.
Program itu yang kini mencapai 10 kohort, dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh, melibatkan penyertaan seramai 98 pelajar tahun akhir dari lima universiti.
“Ini termasuk UiTM Cawangan Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Teknologi Petronas," kata syarikat minyak negara itu dalam kenyataan di sini.
Siri BeDigital yang pertamanya dilancarkan pada 2022 itu disokong oleh sejumlah 27 universiti tempatan dan lebih 90 rakan kongsi pengambilan pekerja.
Kemasukan progam ini ke wilayah utara semenanjung merupakan destinasi kelima BeDigital untuk 2024, berikutan kem permulaannya di pantai timur dan wilayah selatan serta Sabah dan Sarawak,” kata Petronas.
Majlis penutupan itu dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Datuk Bacho Pilong.
Program 12 hari itu yang dikendalikan oleh Petronas dengan kerjasama rakan teknologi bertujuan bagi mengukuhkan celik digital pelajar, meningkatkan prospek pekerjaan, meningkatkan kebolehpasaran dan meneroka keusahawanan digital dalam menyokong aspirasi digital negara.
Modul itu juga menawarkan pembelajaran kemahiran digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, serta mengukuhkan kemahiran pembentangan pelajar.
Naib Presiden Penyampaian Projek Kumpulan, Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, Shah Rizal Dahlan berkata, pencapaian program itu di Wilayah Utara menggariskan dedikasi syarikat untuk meluaskan peluang pertumbuhan dan pembelajaran komuniti di seluruh negara.- DagangNews.com