Projek pembangunan semula Stadium Shah Alam berada di landasan tepat untuk siap pada 2026 - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Projek pembangunan semula Stadium Shah Alam berada di landasan tepat untuk siap pada 2026 - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Projek pembangunan semula Stadium Shah Alam yang melibatkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) berada di landasan tepat untuk siap sepenuhnya pada 2026.

 

RHB Research berkata, kerajaan negeri dan kumpulan itu sedang mendapatkan maklum balas mengenai stadium contoh yang dipamerkan sebelum memuktamadkan reka bentuk stadium itu.

 

Pada masa sama, mereka juga sedang mendapatkan permit pembangunan daripada pihak berkuasa dan pembinaan akan bermula antara Februari dan April.

 

Firma itu berkata, kapasiti stadium baharu Shah Alam itu dirancang antara 35,000–45,000 penonton, berbanding 80,000 sebelum ini.

 

"Walaupun kapasiti yang lebih kecil, kami percaya ini akan menghasilkan penggunaan yang lebih baik, kerana rancangan pembangunan semula termasuk bahagian rekreasi, komersial dan kediaman bersama-sama dengan hab transit yang dihubungkan dengan stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, sistem simpanan air bawah tanah (UWSS) stadium baharu  adalah sangat penting kerana Seksyen 13 Shah Alam adalah kawasan yang mudah banjir.

 

Katanya, Majlis Bandaraya Shah Alam sebelum ini memperuntukkan RM150 juta untuk menaik taraf sistem perparitan dan kolam tadahan di bandar raya itu bagi tempoh tiga tahun.

 

“Kami menyukai MRCB kerana mereka mempelbagaikan cabang hartanahnya kepada hartanah perindustrian, seperti Taman Bersepadu Ipoh Raya dan pasaran luar negara baharu, iaitu Australia dan New Zealand, dengan jumlah nilai pembangunan kasar melebihi RM1.5 bilion.

 

"Pemangkin yang akan datang ialah potensi pengembalian semula kerja yang ditinggalkan untuk LRT3 bernilai RM1 bilion dan sebahagiannya mengurangkan risiko daripada projek MRT 3," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 45 sen sesaham. - DagangNews.com