ORANG kurang upaya (OKU) telah lama menghadapi beberapa halangan untuk mengundi dalam pilihan raya. Daripada tempat mengundi yang sukar diakses sehinggalah sekatan yang membebankan ke atas pengundian, hak OKU untuk mengundi sering diabaikan atau dilupakan.
Dalam satu-satu kawasan PRU, tiada kajian dibuat berapa ramai OKU yang berdaftar dan mengundi. Mungkin OKU ramai yang tidak hadir kerana faktor kesukaran.
Sehingga 31 Ogos lalu, hanya sejumlah 619,273 OKU telah pun berdaftar dengan JKM dan ia sebenarnya amat kecil kerana mungkin masih ada yang berasa malu. Kira-kira 2.0% daripada penduduk Malaysia, adalah amat kecil berbanding anggaran jumlah 4.8 juta OKU di Malaysia.
Terdapat 7 jenis Ketidakupayaan; Pembelajaran, Mental, Fizikal, Pelbagai Kecacatan, Cacat Penglihatan, Cacat Pendengaran, dan Cacat Pertuturan.
Setelah penamaan calon untuk bertanding dalam PRU15, hanya seorang OKU yang menjadi calon, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) atas tiket PKR menegaskan beliau memperjuangkan OKU yang senasib dengannya.
Noraishah yang berkerusi roda kerana mengalami kecacatan 'spina bifida' berkata, pemilihannya sebagai calon adalah berdasarkan merit dan bukan kerana hilang upaya.
Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, golongan OKU sepertinya sering berdepan kesulitan sejak kecil, pernah dinafikan untuk memasuki tadika kerana kecacatan dialaminya.
Dr Noraishah menyentuh mengenai penyelidikan dan itu sesuatu yang sensitif kerana bekerja keras sejak sepanjang hidup untuk memahami masalah 'spina bifida' sehingga ke luar negara, bekerja di makmal terkemuka dunia untuk mempelajari mengenai kecacatan ini.
"Kamu tidak dapat mencari kumpulan penyelidik yang lebih baik dan saya satu-satunya individu di negara ini yang mempunyai makmal berfungsi mengenai kecacatan neurotik. Banyak kajian mengenai kecacatan neurotik yang sudah saya terbitkan," katanya.
Dr Noraishah juga sering kali dinafikan untuk mendapatkan geran penyelidikan terutama daripada kementerian berkaitan.
Saya teruja dengan Dr Noraishah dan mengharapkan beliau menang di Putrajaya. Saya tidak kisah Dr Noraishah bertanding dengan sesiapa, kita mahukan seorang OKU yang geliga otaknya untuk berada di Parlimen mewakili semua OKU.
Bukan inklusif sepenuhnya
Saya bertanya kepada seorang sahabat: "Apa yang kamu fikir boleh dilakukan untuk menambah baik perwakilan OKU di Parlimen?"
Dia menjawab: "Kita mempunyai dilema kepelbagaian di mana parti-parti begitu sibuk cuba memilih calon yang pelbagai mengenai perbezaan seperti jantina, budaya dan etnik sehingga mereka lupa tentang kecacatan. Budaya keseluruhannya perlu jauh lebih inklusif dengan memasukkan OKU.”
Saya bersetuju dengan mempunyai ahli Parlimen yang OKU dan dalam kabinet kerana membawa pengalaman hidup mereka, yang dengan hanya berada di sana, mereka adalah seperti peguam bela yang boleh dilihat untuk OKU yang perlu bekerja dan dengan itu membantu mewujudkan persekitaran yang inklusif.
Senator OKU sekarang ialah Dato Ras Adiba Radzi dan dengan jumlah masih kecil berbanding anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara. Kita perlukan sekurangnya 2 orang OKU untuk bersuara dan mewakili OKU.
Sementara di New Zealand sewaktu saya belajar, wanita mula mengundi 124 tahun yang lalu tetapi Undian Telefon diperkenalkan untuk mereka yang cacat penglihatan atau mereka yang mempunyai kecacatan fizikal yang lain.
Semua mempunyai hak untuk mengundi rahsia, jadi jika tidak boleh menanda kertas tanpa bantuan, boleh mengundi melalui telefon yang telah diperkenalkan pada pilihan raya.
Sebagai sebahagian daripada projek komuniti, membawa golongan muda melalui langkah mengundi dan memberi mereka idea yang sempurna tentang proses pengundian dengan memainkan peranan.
Suruhanjaya Pilihan Raya New Zealand mempunyai pelbagai cara untuk membantu orang yang mempunyai keperluan akses yang berbeza. Ramai bersemangat untuk menyatukan ketidakupayaan dan politik. Ingin melihat OKU lebih sedar, termaklum dan kelihatan, memainkan peranan penting dalam organisasi.
Untuk menangani kumpulan OKU dan menggalakkan mereka untuk menggunakan hak mereka untuk mengundi. Ia adalah undian khas. Jika mempunyai masalah kebimbangan dan tidak selesa berada di sekeliling orang, boleh meminta seseorang yang rapat atau ahli keluarga untuk mengambil kertas mengundi.
Orang sokongan boleh pergi ke tempat mengundi dengan kebenaran lisan dan mengambil kertas mengundi bagi mereka yang tidak dapat melawat tempat awam. boleh mengambilnya dari mana-mana sahaja di negara ini dan menghantarnya semula ke mana-mana pusat.
Saya pada PRU13 pernah membawa OKU di Kuala Rompin untuk mengundi dan apabila sampai di kaunter, menyuruh saya memilih calon yang saya tidak menyokong. Walau bagaimanapun, itu pilihan dia dan saya menandakan dan memasukkannya ke dalam kotak undi.
Malaysia belum sedia terima ahli politik OKU
Adalah penting untuk memperjuangkan peluang yang sama untuk mendidik ahli politik OKU jikalau diterima rakyat kerana Malaysia belum bersedia untuk menerima ahli politik OKU.
Malangnya tiada seorang pun calon yang bertanding mempunyai idea tentang apa yang akan mereka lakukan untuk OKU. Kecuali seorang, Dr Noraishah.
Kita mengharapkan golongan OKU bersuara sekiranya mereka mahu melihat negara menjadi lebih mesra OKU. Golongan OKU mesti menuntut apa yang telah dijanjikan dan harus memastikan suara didengar ketika pilihan raya.
Golongan OKU mungkin, secara teknikal, tidak diberi peluang menikmati hak yang sama dengan orang lain. Namun nilai suara OKU setara dengan orang lain.
OKU mempunyai undi yang kuat dalam tangan seharusnya mengundi calon yang boleh membawa hasil. Walaupun banyak dasar telah dicipta untuk membantu OKU namun pelaksanaannya ketinggalan.
Akses bagi OKU masih kurang di banyak bangunan, walaupun pindaan telah dibuat kepada Undang-undang Kecil Bangunan Seragam pada 1990. Menurut undang-undang kecil tersebut, setiap bangunan dan kawasan awam hendaklah menyediakan akses untuk OKU.
Kemudahan seperti tempat letak kenderaan, tanjakan, papan tanda, dan bantuan untuk orang buta. Bagaimanapun, banyak tempat masih tidak mampu menyediakan kemudahan-kemudahan tersebut.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat telah menyokong menetapkan 1% kuota pekerjaan dalam kementerian untuk OKU, tetapi dalam kerajaan sendiri, hanya 0.22% daripada jumlah pekerjaan diberikan kepada OKU setakat Jun 2019.
Jabatan OKU di bawah JPM
Salah satu isu yang diperjuangkan adalah penubuhan jabatan khas bagi hal ehwal OKU bawah Jabatan Perdana Menteri. Jabatan Pembangunan OKU bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak memiliki kuasa untuk berfungsi secara menyeluruh dalam semua kementerian.
Keperluan OKU secara menyeluruh, seperti perumahan, pengangkutan, sukar bagi jabatan OKU itu untuk mengarahkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan, Kementerian Pengangkutan misalnya untuk melaksanakan hal-hal berkaitan OKU.
Boleh dikatakan, komuniti itu boleh menjadi “faktor penentu” dalam memilih kerajaan namun berapa OKU yang mengundi? Saya harap kemudahan dapat menggalakkan OKU keluar mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sama seperti warga Malaysia yang normal.
SPR perlu melihat tahap ketersediaan fasiliti dan perkhidmatan untuk golongan OKU bagi memastikan sesi pengundian mesra OKU untuk memastikan hak OKU terjamin. OKU diberi akses dan peluang yang sama supaya tidak terkecuali dan dipinggirkan dalam proses demokrasi.
Sama seperti Datuk Senator Ras Adiba Radzi yang meminta diberikan perhatian. Menurut statistik JKM sehingga 31 Julai 2022, terdapat seramai 466,773 OKU daripada tujuh kategori berusia 18 tahun dan ke atas, dengan 199,254 daripadanya adalah OKU fizikal.
Ras Adiba mengesyorkan pemilihan lokasi pengundian yang dijadikan pusat mengundi adalah boleh diakses oleh OKU dengan kesemua pusat harus punyai kemudahan fasiliti yang mesra dan inklusif kepada OKU termasuk penyediaan ramp, parkir OKU, tandas OKU dan kerusi roda.
Beliau turut memberi cadangan supaya jurubahasa isyarat disediakan untuk OKU pendengaran di lokasi pengundian. Dengan menambah baik sistem daftar pemilih seperti menggunakan Braille agar boleh diakses oleh semua kategori OKU terutamanya OKU penglihatan.
Kertas undi Braille
Sememangnya kertas pengundian harus mesra OKU penglihatan dengan penyediaan kertas undi Braille seperti yang telah dilaksanakan di Tamil Nadu, India, serta meja mengundi mempunyai ketinggian sesuai untuk pengguna kerusi roda.
Aplikasi audio seperti SMS suara, web atau mudah alih untuk pendaftaran dan pemakluman butiran pengundian seperti lokasi, saluran, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen harus dibangunkan untuk OKU penglihatan.
Ras Adiba berkata petugas SPR juga harus melalui Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ketidakupayaan dan perkara tersebut boleh dimasukkan dalam modul persediaan dan latihan petugas SPR.
SPR harus menganjurkan bengkel khas dengan kerjasama pertubuhan OKU bagi mendidik pengundi OKU dengan Pendidikan Pengundi Sistematik dan Penyertaan Pilihan Raya serta melantik pegawai JKM yang dilatih mengenai penyediaan kemudahan untuk OKU di setiap kawasan pilihan raya.
OKU berharap SPR dapat memastikan segala kemudahan, fasiliti, teknologi, pendidikan pengundian dan sebagainya dilaksanakan seiring konsep keterangkuman sebagai komponen utama Keluarga Malaysia.
Sekali lagi seperti kata Dr Noraishah, "Saya bukannya orang yang mudah gentar sebab saya sudah susah dari dulu. Saya pernah menjalani 13 pembedahan dan Alhamdulillah otak saya masih berada dalam keadaan baik.
"Saya masih boleh bergerak dan memandu. Hidup saya sangat bermakna, saya tidak pernah gentar terhadap nama dan pangkat seseorang selain tidak gentar lawan nama-nama besar.”
Sesungguhnya, golongan OKU jangan takut untuk memilih mana-mana calon kerana undi adalah rahsia di sebalik kempen mahupun ugutan. Pedulikan orang normal yang berusaha untuk OKU memilih calon dari parti tertentu selagi nasib OKU tidak dijaga sebaik-baiknya.
OKU memilih sesiapa yang berkenan dengan manifesto, diharapkan ada kandungan untuk kemudahan dan kesejahteraan OKU!