Pulau Pinang catat dagangan tertinggi pada September sebanyak RM72.4 bilion - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pulau Pinang catat dagangan tertinggi pada September sebanyak RM72.4 bilion - DOSM

KUALA LUMPUR 28 Okt -  Pulau Pinang mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sebanyak RM72.4 bilion pada September 2022, daripada jumlah dagangan Malaysia RM256.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Negeri itu juga mencatatkan eksport yang lebih tinggi sebanyak RM14.4 bilion, diikuti Johor (RM8.3 bilion), Sarawak (RM5 bilion), Selangor ( RM2.8 bilion), Kedah (RM1.5 bilion) dan Wilayah
Persekutuan Labuan (RM1 bilion).

 

"Sementara itu, Sabah, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka dan Perlis masing-masing mencatatkan eksport berjumlah RM555.8 juta, RM371.4 juta, RM271.2 juta, RM108.8 juta dan RM63.6 juta.

 

"Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengalami penurunan eksport dengan merekodkan RM430.4 juta, Pahang (RM263.9 juta), Perak (RM170.7 juta) dan Kelantan (RM118 juta)," katanya dalam Statistik Eksport Import mengikut Negeri bagi September 2022.

 

Dalam pada itu, Johor mencatatkan peningkatan tertinggi dari segi import dengan RM9.7 bilion, diikuti Selangor (RM5.9 bilion), Pulau Pinang (RM3.5 bilion), Kedah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (masing-masing RM1.7 bilion), Melaka (RM1.3 bilion) dan Sarawak (RM1 bilion).

 

Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Pahang, Terengganu, Perlis dan Kelantan masing-masing turut mencatatkan import lebih tinggi iaitu RM851.8 juta, RM682.9 juta, RM625.5 juta, RM360.5 juta, RM199 juta, RM95. 7 juta, RM43.7 juta dan RM3.4 juta.

 

Jabatan Perangkaan berkata, antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.2% diikuti Johor (21.2%), Selangor (17%), Sarawak (8.5%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.3%).

 

Bagi import pula, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 25.8% diikuti Johor (23.5%), Pulau Pinang (21.7%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6.6%) dan Kedah (6%). - DagangNews.com