Rantau Asia dan Pasifik berdepan 3 'taufan' menggerunkan - Laporan IMF | DagangNews Skip to main content

Rantau Asia dan Pasifik berdepan 3 'taufan' menggerunkan - Laporan IMF

KUALA LUMPUR 28 Okt - Pertumbuhan di rantau Asia dan Pasifik dijangka perlahan pada 2022 dan 2023, mencerminkan ketidaktentuan daripada pengetatan kewangan global, perang di Ukraine dan kelembapan ekonomi China yang mendadak dan luar biasa.

 

Hubungan yang mencabar ini mencetusken kesukaran bagi pembuat dasar, demikian menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Tinjauan Ekonomi Serantau: Asia dan Pasifik bertarikh 27 Oktober 2022.

 

Pengarah IMF Bahagian Asia dan Pasifik, Krishna Srinivasan berkata, pemulihan ekonomi Asia yang kukuh pada awal tahun ini kehilangan momentum, dengan suku kedua yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan ramalan pertumbuhan untuk Asia dan Pasifik kepada 4% tahun ini dan 4.3% pada 2023, masing-masing turun sebanyak 0.9 dan 0.8 mata peratusan, berbanding Tinjauan Ekonomi Dunia pada April lalu, jauh di bawah purata 5.5% sejak dua dekad lalu.

 

"Namun begitu, Asia kekal sebagai titik cerah yang relatif dalam ekonomi global yang semakin malap,” katanya dalam laporan itu menerusi laman webnya.

 

 

Krishna Srinivasan
KRISHNA SRINIVASAN

 

 

Laporan tersebut mendedahkan rantau ini menghadapi tiga 'taufan' yang menggerunkan, dan mungkin terbukti berterusan. 

 

Masalah pertama ialah pengetatan kewangan global. Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah menjadi lebih agresif dalam mengetatkan dasar monetari mereka kerana inflasi AS kekal tinggi, mencerminkan keadaan kewangan yang lebih ketat untuk Asia.

 

Ketidaktentuan kedua ialah perang di Ukraine. Kesan utama ke atas Asia adalah melalui harga komoditi, yang melonjak berikutan pencerobohan dan ia kekal tinggi. Kebanyakannya (tetapi bukan semua) negara di Asia telah melihat kemerosotan dalam terma perdagangan dan ini menjadi faktor penting di sebalik kejatuhan nilai mata wang setakat tahun ini.

 

Ketiganya ialah kelembapan mendadak dan luar biasa di China. IMF telah menurunkan pertumbuhan China pada tahun ini kepada 3.2%, paras kedua terendah sejak 1977, mencerminkan impak daripada dasar sifar COVID-19 dan krisis dalam sektor hartanah. Kelembapan ini dianggarkan memberi tempias ke seluruh Asia melalui hubungan perdagangan dan kewangan.

 

Walaupun inflasi meningkat lebih sederhana di Asia pada tahun lalu berbanding di rantau lain, serangan mendadak turun naik dalam pasaran komoditi global selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari lalu memberi tekanan tambahan kepada inflasi utama Asia pada separuh pertama 2022. 

 

Peningkatan itu didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api terutamanya di pasaran sedang pesat membangun Asia dan ekonomi membangun tetapi juga mencerminkan inflasi teras yang lebih tinggi apabila rantau ini pulih.

 

Fed AS
Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menjadi lebih agresif dalam mengetatkan dasar monetari kerana inflasi di negara itu kekal tinggi.

 

 

Srinivasan berkata, pengetatan dasar monetari selanjutnya akan diperlukan untuk memastikan inflasi kembali kepada sasaran dan jangkaan inflasi kekal kukuh.

 

Jelasnya, pengukuhan fiskal diperlukan untuk menstabilkan hutang awam dan menyokong pendirian dasar monetari.

 

"Asia kini merupakan penghutang terbesar di dunia selain menjadi penjimat terbesar, dan beberapa negara berisiko tinggi menghadapi masalah hutang.

 

"Dinamik hutang awam dan swasta sudah menjadi lebih teruk berikutan pandemik kerana pertumbuhan yang lebih perlahan dan tahap hutang yang lebih tinggi," katanya.

 

Menurutnya, susut nilai dan kenaikan kadar faedah boleh mendedahkan kelemahan kewangan daripada leveraj yang tinggi dan kunci kira-kira tidak dilindungi, dan seterusnya meningkatkan nisbah hutang awam.

 

"Apabila kadar faedah meningkat, ini akan meningkatkan baki fiskal yang diperlukan untuk menstabilkan hutang. 

 

"Pendekatan bersepadu untuk menangani cabaran ini dengan cara yang tepat pada masanya dan dikawal dengan baik adalah penting di samping mengambil kira risiko penurunan seterusnya," tambahnya.

 

 

china
IMF telah menurunkan pertumbuhan China pada tahun ini kepada 3.2%, paras kedua terendah sejak 1977.

 

 

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, pertembungan yang mencabar memburukkan lagi parut ekonomi jangka sederhana yang dicetuskan oleh wabak COVID-19. 

 

Ini kerana, katanya, pandemik itu dijangka mencetuskan kejatuhan jangka panjang dalam pengeluaran berkenaan dengan unjuran sebelum pandemik, dan parut ini dijangka paling teruk di Asia dan Pasifik.

 

"Kebanyakan kekurangan dalam pertumbuhan di Asia berbanding wilayah lain boleh dijelaskan oleh tahap pelaburan yang lebih rendah berikutan wabak itu. 

 

"Kerugian output ini juga amat teruk dalam ekonomi yang bergantung kepada pelancongan dan mereka yang mempunyai hutang yang tinggi," jelasnya. -DagangNews.com