RHB Investment 'neutral' terhadap cadangan penempatan persendirian Yinson bagi perkembangan segmen RE | DagangNews Skip to main content

RHB Investment 'neutral' terhadap cadangan penempatan persendirian Yinson bagi perkembangan segmen RE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - RHB Investment berpandangan 'neutral' terhadap cadangan penempatan persendirian Yinson Holdings Bhd kerana ia diperlukan bagi meneruskan perkembangan dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan teknologi hijau.

 

Mereka juga tidak menolak kemungkinan yang kumpulan itu akan meneruskan pengumpulan dana bagi jangka panjang sekiranya terdapat projek baharu yang sesuai dalam segmen itu.

 

Katanya, cadangan penempatan persendirian itu dijangka meningkatkan hasil kasar kumpulan sebanyak RM283.2 juta.

 

"Sebahagian besar daripada hasil (89.4%) akan untuk digunakan untuk pengembangan dalam segmen RE dan teknologi hijaunya dan baki 9.9% adalah untuk tujuan modal kerja.

 

"Difahamkan bahawa ia akan digunakan untuk membiayai projek RE di Peru," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Yinson telah melengkapkan pengambilalihan projek Matarani Solar 97MWp di Peru, yang telah dikontrak melalui perjanjian pembelian kuasa selama 15 tahun.

 

Projek itu kini dalam pembinaan dan dijangka memasuki operasi komersial pada suku ketiga tahun ini dan terdapat lebih banyak projek sedang dalam perancangan.

 

Sementara itu, peruntukan belanjawan untuk teknologi hijau adalah bagi penggunaan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan pembinaan kapal elektrik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan global bagi kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) kekal positif dan kumpulan itu berada dalam kedudukan selesa untuk mendapatkan projek lain sebaik sahaja projek sedia ada mencapai peringkat penukaran akhir.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana trajektori pertumbuhan eksponennya dan disokong oleh sumbangan sulung daripada tiga kapal akan datang sambil meneruskan usaha agresifnya dalam segmen RE dan teknologi hijau.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM3.04 sesaham," katanya.- DagangNews.com