KUALA LUMPUR 30 Jan - RHB Research positif terhadap prospek pertumbuhan pembiayaan Bank Islam Malaysia Berhad bagi FY23.
Bagaimanapun, firma itu berkata, peningkatan nisbah susut nilai kewangan (GIF) dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi boleh mengehadkan kenaikan harga saham kumpulan itu.
Katanya, GIF kumpulan itu pada 3QFY22 meningkat 32% sejak 4QFY21 dengan tekanan tertentu datang daripada sektor isi rumah dan berbanding pertumbuhan keseluruhan sistem perbankan dan pinjaman terjejas kasar (GIL) isi rumah sebanyak +13% dan +12% dalam tempoh tersebut.
Firma itu berkata, GIF kumpulan itu berada pada aliran menaik 1.2% pada 3QFY22 (4QFY21: 0.96%)
"Walaupun GIF pada 3QFY22 masih di bawah 1.82%, kami kekal berhati-hati dengan kualiti aset bank, memandangkan GIF masih belum memuncak dan kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan mengatasi industri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan nisbah kos pendapatan (CIR) terus meningkat dengan mereka meningkatkan perbelanjaan IT dan modal insannya sebagai sebahagian daripada strategi kalis masa hadapannya.
Katanya, ia juga mengharapkan tempoh pelaburan intesif itu bertahan utnuk lima tahun dan mengharapkan CIR tidak melebihi paras 60% dan selepas lima tahun ia kekal konsisten di bawah paras 50%.
"Pendapatan bukan pembiayaan dijangka bertambah baik seiring dengan pemulihan dalam pendapatan tetap dan pasaran ekuiti.
"Kumpulan itu itu menjangkakan dua lagi kenaikan kadar faedah pada 2023, dengan sensitiviti margin faedah bersih (NIM) kepada setiap kenaikan 25bps diturunkan kepada +6bps dalam tempoh 12 bulan (daripada +8bps) memandangkan persaingan sengit untuk deposit," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM2.60 sesaham. - DagangNews.com