Rizab antarabangsa BNM susut kepada AS$112.8 bilion pada 30 April 2024 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM susut kepada AS$112.8 bilion pada 30 April 2024

Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$112.8 bilion pada 30 April 2024 . - Gambar NAIM AZIZ/ DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mei - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut kepada AS$112.8 bilion pada 30 April 2024 berbanding AS$113.4 bilion pada 15 April 2024. 


 
Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.


 
Komponen utama rizab antarabangsa merangkumi rizab mata wang asing berjumlah AS$100.6 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.8 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.4 bilion).

 

Katanya, aset bank pusat itu berjumlah RM629.49 bilion, yang terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR (RM534.25 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.99 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.9 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.6 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM51.6 bilion).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rizab antarabangsa BNM susut kepada AS$113.4 bilion pada 15 April 2024


 
BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM190.5 bilion), mata wang dalam edaran (RM166.53 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM149.22 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM6.61 bilion), deposit lain (RM63.39 bilion), kertas Bank Negara (RM18.65 bilion), peruntukan SDR (RM30.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.25 bilion).

 

Rizab antarabangsa BNM pada 29 Mac lalu berjumlah AS$113.8 bilion.- DagangNews.com