Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 2QFY24 susut 20% kepada RM261.4 juta | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 2QFY24 susut 20% kepada RM261.4 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Rugi bersih Lotte Chemical Titan Holding Bhd  pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut sebanyak 20% kepada RM261.4 juta berbanding RM327.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong margin negatif kasar lebih rendah.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga susut sebanyak 4% kepada RM1.77 bilion berbanding RM1.86 bilion bagi 2QFY23.

 

Katanya, penyusutan kerugian sebelum cukai diimbangi peningkatan bahagian kerugian daripada syarikat bersekutu, Lotte Chemical USA Corporation.

 

Kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) menyusut sebanyak 41% kepada RM155.6 juta daripada RM261.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024, kerugian bersih kumpulan itu susut 19% kepada RM450.5 juta berbanding RM559.3 juta berbanding tahun lalu dan pada masa sama mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak RM3.7 juta berbanding RM3.8 pada 1HFY23.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Park Hyun Chul berkata, pada 2QFY24 kumpulan itu telah melaksanakan pelan keselamatan komprehensif bagi pemulihan kilang sebagai inisiatif meningkatkan prestasi dan mengekalkan kecekapan operasi di kedua-dua kilang di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat.

 

Katanya, keadaan itu menyaksikan, jumlah jualan menyusut dengan kadar penggunaan yang lebih rendah pada 47% disebabkan oleh penutupan kilang.

 

"Dari segi pengeluaran, kumpulan itu kini telah menyelesaikan pemulihannya dan dijangka mengoptimumkan kadar penggunaannya dalam tempoh akan datang. 

 

"Lotte Chemical Titan kekal fokus kepada usaha berterusan bagi mengoptimumkan jumlah pengeluaran dan pengurusan aliran tunai yang berkesan sejajar dengan strategi perniagaan kami dalam mengekalkan kedudukan pasarannya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Selain itu, beliau berkata, pembinaan Projek Etilena Baharu (LINE) Lotte Chemical Indonesia yang terletak di Merak, Indonesia sedang berjalan mengikut jadual dan projek pembesaran itu dijangka siap menjelang 2025.

 

Katanya, selepas siap, projek LINE akan mengembangkan jumlah kapasiti pengeluaran kumpulan sebanyak 65%. - DagangNews.com