Saham MyEG naik 5.79% selepas sertai ‘kelab’ pengedar vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Saham MyEG naik 5.79% selepas sertai ‘kelab’ pengedar vaksin COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Selepas mengumumkan kerjasama dengan sebuah syarikat pembangun vaksin COVID-19, harga saham MyEG Services Berhad (MyEG) melonjak tinggi. 

 

Setakat 10.39 pagi, harga saham MyEG mencecah RM2.01, melonjak 5.79% atau RM 0.11 daripada paras ditutup semalam, RM1.90.

 

Semalam, MyEG mendedahkan bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan Anhui Zhifei Longcom Biopharmaceutical Co Ltd (Zhifei) untuk memperoleh sijil Halal Malaysia bagi calon vaksin COVID-19 syarikat biofarma dari China berkenaan. 

 

Dalam masa sama, MyEG juga akan menjadi pengedar eksklusif vaksin berkenaan di Malaysia bagi tempoh tiga tahun. 

 

CGS-CIMB Research percaya, potensi untuk mengkomersialkan vaksin COVID-19 Zhifei itu akan memperkukuh kedudukan MyEG sebagai pusat utama untuk menguruskan cabaran logistik dan pentadbiran ujian serta vaksinasi COVID-19.

 

Firma penyelidik itu mengekalkan saranan ‘tambah’ saham MyEG dengan harga sasaran (TP) RM2.50. 

 

“Kami mengekalkan ramalan perolehan memandangkan kami percaya masih awal untuk menganggarkan potensi impak perjanjian vaksin itu. 

 

“Potensi komersial vaksin halal COVID-19, lanjutan insentif cukai dan pelaksanaan perjalanan gelembung oleh kerajaan yang membolehkan pelancong memasuki Malaysia merupakan pemangkin penarafan semula.

 

“Sementara itu, penangguhan pembukaan semula sempadan dan pemulihan dalam kedatangan pelancong yang akan menjejaskan kadar ambilan platform MySafeTravel oleh MyEG merupakan risiko penurunan,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 



MyEG dan Zhifei telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam melaksanakan percubaan klinikal vaksin COVID-19 Zhifei bagi fasa ketiga di Malaysia. 

 

Percubaan itu akan menjadikan vaksin Zhifei antara yang pertama untuk menjalani ujian peringkat akhir di Malaysia di bawah pemerhatian Kementerian Kesihatan. 

 

Apabila berjaya, MyEG akan menjadi pengedar tunggal untuk vaksin berkenaan di Malaysia.

 

“Kami difahamkan daripada pihak pengurusannya bahawa syarikat itu memperuntukkan perbelanjaan modal RM4 juta hingga RM5 juta untuk melantik syarikat penyelidikan klinikal bagi melaksanakan ujian fasa ketiga di Malaysia, di bawah pemantauan institut Penyelidikan Klinikal dan Penyelidikan Klinikal Malaysia KKM,” tambah CGS-CIMB. 

 

Bagaimanapun, harga vaksin itu belum ditetapkan dan difahamkan akan berdaya saing. 

 

Dalam masa sama, MyEG juga berhasrat untuk mengedarkan vaksin dalam kalangan populasi Islam global memandangkan syarikat itu kini sedang berusaha untuk memperoleh status sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

 

Kumpulan syarikat itu percaya pengiktirafan Halal oleh Jakim akan memastikan penerimaan vaksin yang meningkat dalam kalangan populasi Islam global. - DagangNews.com