Saham Scomi Energy dinyahsenaraikan dari Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas 31 Julai 2024 | DagangNews Skip to main content

Saham Scomi Energy dinyahsenaraikan dari Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas 31 Julai 2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Julai - Scomi Energy Services Bhd (SESB) bakal dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas 31 Julai 2024 berikutan pengumumamnya `tidak akan meneruskan pelan regularisasi'.

 

SESB diberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk menyerahkan pelan regularisasinya kepada pengawal selia, Bursa Malaysia.

 

"Syarikat tidak akan meneruskan pelan penyelarasan yang dicadangkan pada Januari 2024 dan telah melepaskan penasihat utamanya, M&A Securities," umum Scomi di Bursa Malaysia.

 

Kumpulan Scomi memegang 8.33 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

 

Syarikat ini telah cuba memulihkan kedudukan kewangannya sejak diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 pada tahun 2020.

 

 

Antara tindakan yang sudah dilakukan oleh SESB ialah melupuskan perniagaan penggerudiannya; 48% kepentingannya dalam Scomi KMC Sdn Bhd dan 100% kepentingan dalam Scomi Oilfield Ltd; 25% kepentingan dalam Scomi Oiltools Gulf W.L.L. dan 25% kepentingan dalam Continental Wire Cloth (Malaysia) Sdn Bhd, Dataran Prima Property dan inventori serta peralatan kepada Oiltools International Sdn Bhd sebanyak RM21 juta sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk kembali bangkit.

 

Pelupusan lain juga dibuat untuk menjana hasil tunai bagi membayar balik obligasi hutang yang terhutang kepada pemberi pinjaman bercagar.

 

Ini menyebabkan SESB tidak lagi mempunyai sebarang operasi menjana pendapatan dan menjadi syarikat pemegangan pelaburan dengan kunci kira-kira yang lebih bersih.

 

 

scomi

 

 

Hanya setahun lalu, SESB berjaya meyakinkan pengawal selia bahawa apa yang diperlukan hanyalah masa, cuma hampir tidak berjaya mengelak penyahsenaraian pada masa itu.

 

Dagangan dalam sahamnya bagaimanapun telah digantung selepas ia gagal menyerahkan pelan regularisasinya tepat pada masanya kepada Bursa Securities.

 

Pada Januari lalu, SESB mengumumkan pelan penyusunan semula yang melibatkan kepelbagaian ke dalam perniagaan pembinaan dan menerima kontrak RM140.03 juta daripada Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) untuk pembinaan dan penyelenggaraan cadangan naik taraf stesen dan kemudahan Keretapi Tanah Melayu Bhd. di bawah projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2.

 

Scomi Energy juga mencadangkan penempatan persendirian sebanyak 35.125 juta saham baharu, mewakili 60% daripada saham terbitannya yang diperbesarkan, pada 22 sen setiap saham peletakan kepada pengasas dan pengarah eksekutif DMIA, Datuk Seri Dr Subramaniam Pillai Sankaran Pillai.

 

Percubaan terakhir SESB nampaknya telah gagal. - DagangNews.com