PUTRAJAYA 4 Julai - Penyalahgunaan dana dalam Majlis Profesor Negara (MPN), antara penemuan yang dikesan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumumkan hari ini.
Menurut laporan itu, MPN sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM), didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.
Malah, ia mewujudkan konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit, selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).
Selain itu, pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan, menurut laporan Berita Harian.
Pembayaran juga dibuat tanpa kelulusan LPA iaitu membabitkan 'Honorarium' felo penyelidik berjumlah RM399,000; pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat berjumlah RM82,500; penyelarasan gaji pengurusan tertinggi berjumlah RM62,500 serta pembayaran elaun tetap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif berjumlah RM66,000.
LKAN turut menemukan pengurusan geran yang tidak cekap membabitkan pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan, sebanyak RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta sejumlah RM475,000 peruntukan tidak digunakan.
Pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 turut dibuat tanpa dokumen sokongan.
Seksyen 212 yang dibaca bersama Jadual Ketiga perenggan 24 Akta 777 menetapkan saraan, gaji dan komisen Pengarah Urusan tertakluk kepada terma yang ditentukan Lembaga Pengarah. Manual Skim Perkhidmatan MPN yang diluluskan pada 26 Julai 2022 menetapkan skala gaji bagi jawatan kumpulan pengurusan tertinggi ditentukan oleh ahli LPA.
Semakan Audit mendapati penetapan kadar kenaikan gaji tahunan pengurusan tertinggi tidak diluluskan oleh ahli LPA dan jadual penyelarasan gaji tahun 2022 serta 2023 hanya diluluskan oleh Presiden/KPE dan diperakui Pengerusi MPN. Penyelarasan gaji ini melibatkan kenaikan gaji tahunan sebanyak 10% daripada gaji pokok pengurusan tertinggi.
Sejumlah RM62,500 telah dibayar bagi tempoh April 2022 hingga Januari 2024 tanpa kelulusan LPA kepada Presiden/KPE dan Ketua Pegawai Operasi masing-masing berjumlah RM46,000 dan RM16,500.
Justeru, LKAN mengesyorkan supaya JPM perlu mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan dan status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran wajar diteruskan atau sebaliknya.
Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan, MPN perlu membuat pindaan terhadap Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN.
JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh.
Berdasarkan fakta audit yang dikemukakan dalam LKAN, MPN tidak pernah diaudit oleh Jabatan Audit Negara sejak diperbadankan pada tahun 2014.
MPN menerima geran mengurus daripada kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh tahun 2015 hingga 2018 serta 2022 dan 2023, kata Berita Harian lagi.
Sementara itu, MPN dalam maklum balas ringkas kepada LKAN, menyatakan kerajaan telah membuat keputusan membubarkan MPN secara serta-merta berkuat kuasa 23 Mei 2018 yang secara langsung mengeluarkannya dari naungan pihak kerajaan.
"Mulai tarikh pembubaran itu, MPN tiada lagi menerima saluran dana kerajaan dan beroperasi dengan sumbangan dan pembiayaan sendiri serta bergerak sebagai sebuah entiti bebas.
"MPN mula diterima semula beroperasi dibawah naungan kerajaan dan menerima dana tahunan mulai Januari 2022," jelas MPN.
Sementara itu, Berita Harian memetik MPB berkata, penetapan kadar kenaikan gaji telah dibawa dalam Mesyuarat Ahli LPA Bil. 3/2023 namun tidak dibincangkan secara menyeluruh.
"MPN akan membawa semula permohonan ini agar penetapan dan pelarasan gaji pengurusan tertinggi akan dibuat mengikut kesesuaian dan kedudukan semasa kewangan MPN". - DagangNews.com