SC perkenal mekanisme baharu pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama pada akhir Disember 2023 | DagangNews Skip to main content

SC perkenal mekanisme baharu pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama pada akhir Disember 2023

KUALA LUMPUR 6 Dis - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang berusaha untuk memperkenalkan mekanisme pemindahan diperkemas yang akan membolehkan syarikat tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia berkelayakan berpindah ke Pasaran Utama mulai 2024, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

 

Beliau berkata SC, bersama-sama Bursa Malaysia, sedang berusaha untuk menambah baik kecekapan dalam pasaran awam bagi memudahkan tawaran awam permulaan (IPO), dengan langkah-langkah seperti mengurangkan masa ke pasaran bagi syarikat yang berhasrat disenaraikan di bursa saham tersebut.

 

“Butiran mengenai cadangan rangka kerja pemindahan automatik tersebut akan diumumkan akhir bulan ini. Pengenalan proses pemindahan baharu yang dipermudahkan dan dipercepatkan bakal memudahkan pemindahan penyenaraian untuk mempromosi syarikat Pasaran ACE yang besar dan berkualiti ke Pasaran Utama.

 

“Dengan tersenarai di Pasaran Utama, ia akan membuka peluang kepada pelabur asing untuk melabur. Ini sepatutnya menggalakkan penyertaan asing yang lebih besar dalam pasaran modal kita,” kata Awang Adek dalam ucapannya di Forum Venture Malaysia 2023 di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata pasaran modal memainkan peranan penting dalam membolehkan akses lebih mudah kepada pembiayaan untuk syarikat pemula dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), justeru SC telah mengambil langkah proaktif untuk memudahkan pengumpulan dana bagi perniagaan, khususnya pada peringkat awal pembiayaan.

 

“Usaha kami termasuk membolehkan instrumen kewangan fleksibel, memudahkan pilihan keluar lebih cekap, menggalakkan lebih banyak pelaburan ke dalam pasaran swasta dan menjalin perkongsian dan kerjasama, yang semuanya penting dalam memupuk modal teroka dan ekosistem ekuiti swasta yang bertenaga,” katanya.

 

Awang Adek berkata SC dan Bursa Malaysia akan terus memudahkan pengeluaran syarikat yang menjanjikan, terutamanya dalam sektor teknologi dan inisiatif pasaran modal baru-baru ini bermatlamat menyokong syarikat sedia untuk menyenaraikan IPO yang dijangka memberi kesan positif.

 

 

Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin
Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

 

 

“Ini termasuk potongan cukai bagi syarikat teknologi berkelayakan di Pasaran Utama dan Pasaran ACE. Konsesi ke atas cukai keuntungan modal yang akan dilaksanakan tidak lama lagi akan tersedia untuk IPO di Bursa Malaysia.

 

“Langkah-langkah ini direka untuk meningkatkan usaha mengumpul dana, mengekalkan kerancakan pasaran IPO dan meningkatkan kecairan dagangan,” katanya.

 

SC melihat saluran IPO yang sihat tahun ini, dengan 32 syarikat diluluskan setakat ini untuk penyenaraian di Bursa, kebanyakannya berkaitan teknologi.

 

Malaysia telah melaksanakan dasar bersasar bagi memupuk ekosistem syarikat pemula yang lebih dinamik dan ini termasuk pelaburan RM90 bilion dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

 

Syarikat pemula dan PKS dijangka berperanan penting dengan menyumbang kepada jangkaan RM30.8 bilion dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.

 

SC juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan pengecualian tawaran kecil dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan tahun depan.

 

“Ini bertujuan untuk mengurangkan beban kawal selia dalam proses pengumpulan dana untuk syarikat pemula dan PKS, serta memberikan kejelasan bagi instrumen seperti perjanjian mudah untuk ekuiti masa depan dan nota boleh tukar, yang menjadi semakin biasa dalam pembiayaan syarikat pemula,” kata Awang Adek.  - DagangNews.com