Segmen pembinaan diunjur terus jadi penyumbang utama kepada hasil Kerjaya Prospek, kata PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Segmen pembinaan diunjur terus jadi penyumbang utama kepada hasil Kerjaya Prospek, kata PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Segmen pembinaan diunjur terus menjadi penyumbang utama kepada hasil dan keuntungan Kerjaya Prospek Group Bhd pada masa akan datang.

 

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, kumpulan itu telah dianugerahkan kontrak pembinaan bangunan utama bangunan servis apartmen setinggi 50 tingkat bernilai RM275.3 juta daripada Eastern & Oriental (E&O) di Pulau Andaman, Pulau Pinang.

 

Katanya, dengan penambahan projek itu, jumlah buku pesanan terkumpul kumpulan itu adalah sebanyak RM4.4 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh antara tiga hingga empat tahun akan datang.

 

"Menerusi kemenangan projek itu, kontrak terkumpul sehingga kini berjumlah RM1.25 bilion, mewakili 83.6% daripada buku pesanan sasaran FY24 sebanyak RM1.5 bilion untuk FY24 (FY23: RM1.3 bilion)

 

"Berdasarkan unjuran kami, kontrak baharu itu akan menyumbang sekitar RM27.2 juta sepanjang tempoh kontrak selama 38 bulan dengan andaian margin yang rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM275.3 juta bina servis apartmen di Pulau Pinang

 

Firma penyelidikan itu berkata, servis apartmen itu terdiri daripada 261 unit dengan tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan.

 

Katanya, pembinaan itu ditetapkan untuk bermula pada 2 Januari 2025, dan dijangka siap dalam tempoh 38 bulan.

 

PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi, RM1.96 berbanding RM1.72 sesaham. - DagangNews.com