Tuan Pengarang,
DEMOKRASI merupakan sistem yang lahir di Barat walaupun secara praktik, ia sudah pun dipraktikkan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda ketika kepemimpinan masing-masing, seperti menerapkan konsep musyawarah dan berlaku adil.
Dalam kitab suci Al-Quran, ada banyak ayat yang kandungannya menjelaskan mengenai konsep musyawarah atau perbincangan, antaranya ayat 159 dalam surah Al-Imran.
Ayat itu bermaksud: “Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonlah ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”
Musyawarah atau perundingan lazimnya membabitkan semua peringkat masyarakat, namun yang penting bagi maslahah ummah, negara dan rakyat tentunya perundingan dalam kalangan pemimpin ketika timbul sesuatu masalah, isu atau konflik yang menemui jalan buntu jika mahu diselesaikan oleh satu pihak semata-mata.
Dalam konteks Malaysia, kita sekarang dilanda krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Ada yang tidak dapat dielak seperti ancaman COVID-19 yang menjejaskan hidup serta kehidupan, namun ada juga yang tidak sepatutnya tercetus seperti kemelut politik yang seperti sengaja direncana ketika pemerintah sedang berusaha melawan pandemik, melindungi nyawa rakyat dan memulihkan ekonomi.
Kerajaan demokrasi mana yang tidak terganggu jika tidak putus-putus diserang, dikritik dan dituduh gagal menangani penularan wabak sedangkan perang yang dilalui belum pun tamat, apatah lagi ia perang melawan musuh tidak kelihatan dalam bentuk virus berbahaya yang tidak pernah dihadapi dalam sejarah negara.
Dalam keadaan sokongan majoriti di Dewan Rakyat tidak dapat diabsahkan, hanya kenyataan pemimpin bahawa mereka ada angka untuk membentuk kerajaan.
Keabsahan hanya boleh dibuktikan di Dewan Rakyat, namun khalayak yang hadir di Parlimen turut diancam COVID-19 sehingga ada sudah meninggal dunia dan dewan menempatkan 222 wakil kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia itu ditutup sementara.
Lalu, apa lagi boleh dilakukan pemimpin tertinggi negara? Kembali kepada al-Quran sudahnya apabila tawaran berunding dengan parti-parti politik lawan dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Perdana Menteri, beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya sedia bermusyawarah agar usaha memulihkan negara tidak terganggu sehinggalah Malaysia mengadakan PRU selewat-lewatnya Julai nanti.
Namun, hanya beberapa jam selepas tawaran dibuat, parti-parti pembangkang, malah UMNO sendiri, iaitu parti yang berpengalaman menjadi kerajaan selama lebih 60 tahun mengeluarkan kenyataan menolaknya walaupun perbincangan mengenai perkara itu masih terbuka dalam perbincangan atau musyawarah yang dijanji akan diadakan kemudian.
Pelbagai alasan diberikan untuk menolak tawaran itu termasuk hujah biasa yang ia dibuat ‘demi kepentingan rakyat’, namun rasanya ‘demi kepentingan politik atau peribadi serta ego’ masing-masing adalah alasan yang paling sesuai.
Jika mahu menjaga kepentingan rakyat dan negara, bersikap terbukalah, berbincang dan bermusyawarahlah dalam kalangan pimpinan politik, ketepikan prasangka, ego dan kepentingan peribadi bagi memastikan usaha memulihkan negara dapat dilaksanakan dengan baik.
Hentikan sementara tekanan politik agar usaha memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi dapat diteruskan sehingga PRU-15 menjelma, bersabar dan fokus membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19 kerana jika tidak, pihak yang akan menanggung kerugian adalah rakyat sendiri.
Dalam musyawarah nanti, lontarkanlah pandangan dan idea, bantah jika tidak setuju, sokong jika apa yang dikemukakan dalam perbincangan itu dilihat jitu, maka akan wujudlah situasi menang-menang, bukan menang seorang.
Hizril Mohd Marzuki
Seremban