Sektor sarung tangan getah terus berdepan cabaran kesan peningkatan kos dan saingan sengit pengeluar China, Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Sektor sarung tangan getah terus berdepan cabaran kesan peningkatan kos dan saingan sengit pengeluar China, Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - Sektor sarung tangan getah dijangka terus berdepan cabaran akibat purata harga jualan (ASP) yang lemah selain peningkatan kos dan penggunaan kilang yang rendah kesan daripada persaingan sengit daripada pengeluar China.

 

Kenanga Research berkata, kebanyakan pengeluar tempatan mengambil keputusan menutup kemudahan pengeluaran lama yang boleh mengurangkan tekanan bekalan dalam sektor itu.

 

Firma itu berkata, ketika ini pasaran sedang menyaksikan tanda pertama industri sarung tangan beralih ke fasa rasionalisasi dan penyatuan di tengah-tengah lebihan kapasiti industri yang besar.

 

Katanya, terdapat peningkatan dalam keseimbangan permintaan-bekalan apabila pengeluar mengambil peluang untuk menutup kilang lama yang tidak lagi cekap dan mempercepatkan penyatuan industri

 

"Penggabungan industri dijangka mengembalikan persaingan yang lebih rasional dan diharapkan menghentikan kesukaran yang dihadapi pengeluar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar pada suku berikutnya yang dibelenggu oleh lebihan bekalan yang besar.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan situasi lebihan bekalan akan bertambah baik berikutan tanda-tanda pengeluar mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui penutupan kilang terpilih.

 

"Walaupun terdapat peningkatan, lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga rendah dan penggunaan kilang yang tertekan akan terus melanda industri pada 2023," katanya.

 

Firma itu menjangkakan ASP pada tahun ini adalah 1,000 keping sarung tangan getah berada pada paras AS$20 atau penurunan sebanyak 10% berbanding 2022 dan purata penggunaan kilang sebanyak 50% berbanding 60% pada tahun lalu.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'underweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com