Saudara Pengarang,
Baru-baru ini, pimpinan tertinggi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ada mengeluarkan kenyataan mengenai kemelut politik negara.
Apa yang menarik, kenyataan Presiden CEUPACS, Adnan Mat itu adalah dari kaca mata penjawat awam, antara lain berharap semua pemimpin parti politik di Malaysia dapat mencari titik persefahaman agar negara kembali stabil dan pulih, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya lagi, seluruh rakyat dan pentadbiran kerajaan ketika ini sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, yang memerlukan tumpuan penuh diberikan terhadap usaha mengekang penularan wabak serta pemulihan semula ekonomi negara.
Paling menarik, beliau menyatakan, titik persefahaman yang utama adalah dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam apa juga tindak tanduk agar tidak memberi kesan yang begitu ketara.
Adnan juga mengakui, situasi semasa politik negara ketika ini sedikit sebanyak memberikan kerisauan kepada kebanyakan rakyat, apatah lagi dengan peningkatan jangkitan COVID-19.
Lebih merisaukan apabila beliau bimbang, dalam konteks perkhidmatan awam, kemelut politik yang berlarutan memberi kesan kepada fokus sistem penyampaian perkhidmatan yang diberi tanggungjawab untuk mengekang penularan COVID-19 dan pada masa sama, menjadi pemudah cara kepada pembangunan semula ekonomi negara.
Hakikatnya, perkembangan senario politik di tanah air kita memang membimbangkan, malah ia sebenarnya berlarutan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 lagi apabila Barisan Nasional (BN) tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH).
Sejak itu, situasi politik negara kita kadangkala ‘hangat’, adakalanya ‘suam’, hanya sejuk seketika apabila Umno dan Pas membuat keputusan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
UMNO kemudian menggunakan alasan mempertahankan institusi Raja dan isu berkait ordinan darurat untuk menarik semula sokongan kepada kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin ketika situasi penularan pandemik dan isu ekonomi yang terjejas akibat COVID-19, sepatutnya menjadi tumpuan semua pihak.
Lebih memburukkan keadaan, parti-parti pembangkang juga melihat sekarang sebagai masa yang sesuai untuk membuka jalan menguasai Putrajaya, seolah-olah tindakan mereka itu langsung tidak menjejaskan kestabilan dan fokus kerajaan terhadap apa yang lebih penting, iaitu perang melawan pandemik dan pemulihan ekonomi Malaysia.
Yang peliknya, mengapa UMNO, pakatan pembangkang serta ahli-ahli Parlimen yang tidak mempunyai blok atau wakil rakyat Bebas tidak boleh menanti September untuk menentukan keabsahan kerajaan PN dan Perdana Menteri, sedangkan sidang khas itu akan hadir hanya dalam tempoh tidak sampai sebulan lagi.
Selesaikanlah apa juga masalah atau isu di Dewan Rakyat, tidak perlu ke sana sini mengumpul Surat Akaun atau SD ahli-ahli Parlimen dan kemudian mendakwa ada sokongan majoriti.
Lupakah mereka kepada sejarah yang sudah membuktikan SD adalah dokumen ‘tidak bernilai’ kerana seseorang ahli Parlimen itu boleh sahaja menandatangani satu, dua, tiga atau lebih dokumen berkenaan.
Janganlah ‘menjual’ nama Raja, menuduh lawan menderhaka kepada istana, sedangkan tindakan yang diri sendiri lakukan juga boleh dilihat sebagai menderhaka selepas Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada cadangan undi percaya atau tidak kepada Perdana Menteri, ditentukan pada September ini.
Pada masa itu nanti, berlapang dadalah menerima apa sahaja keputusan, menang atau kalah, bukannya tidak henti-henti melaungkan dakwaan mempunyai sokongan lebih berbanding lawan kerana ia hanya mencetuskan ketidaktentuan dan tidak baik untuk negara kita yang tercinta.
Ahmad Salmi Jaafar
Dengkil, Selangor