Sentimen pelabur global terus meningkat - BNM | DagangNews Skip to main content

Sentimen pelabur global terus meningkat - BNM

 

 


KUALA LUMPUR 29 Jan. - Sentimen pelabur global pada Disember terus meningkat dengan jangkaan aktiviti ekonomi akan kembali normal, berikutan kebenaran kerajaan di negara-negara utama berhubung dengan penggunaan vaksin COVID-19. 

 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), hal ini berlaku meskipun terdapat beberapa kebimbangan tentang kemungkinan pemulihan ekonomi global menjadi perlahan apabila beberapa ekonomi utama melaksanakan langkah sekatan pergerakan tambahan dalam keadaan jangkitan COVID-19 yang meningkat semula pada bulan itu.

 

Hasilnya, indeks ekuiti global dan serantau mencatatkan keuntungan, mencerminkan kesanggupan pelabur mengambil risiko yang lebih tinggi terhadap aset yang lebih berisiko. 

 

"FBM KLCI juga meningkat 4.1%. Kesanggupan pelabur mengambil risiko yang lebih tinggi juga mendorong aliran masuk portfolio bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik berikutan aktiviti mencari keuntungan oleh pelabur global.

 

"Kadar MGS 10-tahun menurun sebanyak 9 mata asas dan ringgit menambah nilai 1.4% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat," katanya dalam laporan Perkembangan Monetari dan Kewangan bagi Disember 2020 yang dikeluarkan hari ini.

 

Bagi bulan tersebut, inflasi keseluruhan mencatatkan kadar negatif yang lebih kecil sebanyak -1.4% berbanding November, -1.7% disebabkan terutamanya oleh kenaikan harga bahan api runcit dalam negeri.

 

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras kekal stabil pada 0.7%.

 

"Pada keseluruhan 2020, purata inflasi keseluruhan adalah lebih rendah pada -1.2% (2019: 0.7%) mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang ketara lebih rendah. Inflasi teras kekal positif dengan purata 1.1% (2019: 1.5%)," katanya. 

 

BNM berkata, pembiayaan bersih terus meningkat dalam keadaan pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul yang sederhana (Disember 2020: 3.4%, November 2020: 3.8%), sementara pertumbuhan bon korporat terkumpul terus mampan pada 6.5% (November 2020: 6.7%).

 

Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul kekal pada 5.0% (November 2020: 5.0%) apabila pengeluaran pinjaman meningkat dan kekal lebih tinggi daripada purata yang pernah dicatatkan sebelum ini (Disember 2020: RM33.1 bilion, November 2020: RM29.7 bilion).

 

Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menurun (Disember 2020: 0.5%, November 2020: 1.2%) disebabkan oleh kesan asas yang tinggi pada bulan Disember 2019. 

 

Bagaimanapun, pengeluaran meningkat didorong oleh pinjaman modal kerja yang lebih tinggi.

 

Bagi nisbah pinjaman terjejas kasar pula, ia terus meningkat dan kembali semula ke paras yang setara dengan 2019 (Disember 2020: 1.6%; November 2020: 1.5%).

 

"Dalam hal ini, institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kerugian kredit masa depan dengan nisbah jumlah peruntukan kepada jumlah pinjaman meningkat kepada 1.7% pada Disember (November 2020: 1.6%).

 

"Peminjam yang masih terjejas dengan situasi mencabar akan terus menerima bantuan yang diperlukan daripada bank melalui bantuan bayaran balik bersasar," jelas BNM. 

 

Mengenai pertumbuhan eksport, ia meningkat kepada 4.3% pada November 2020 (Oktober 2020: 0.2%), disebabkan terutamanya oleh eksport E&E yang lebih kukuh. 

 

Mengikut destinasi, prestasi eksport E&E yang lebih kukuh didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China, Hong Kong SAR dan Singapura.

 

"Pada masa hadapan, eksport dijangka mendapat sokongan daripada pemulihan pertumbuhan global, permintaan terhadap eksport elektronik yang berterusan dan harga komoditi yang lebih tinggi. 

 

"Namun begitu, prospek perdagangan terus bergantung pada perkembangan global berkaitan dengan pandemik COVID-19," katanya. - DagangNews.com