Serba Dinamik berhasrat jual 101.05 juta saham baharu kepada Mohd. Abdul Karim | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik berhasrat jual 101.05 juta saham baharu kepada Mohd. Abdul Karim

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan.  - Syarikat perkhidmatan tenaga, Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) berhasrat untuk melaksanakan tawaran persendirian sehingga 101,049,000 saham baharu kepada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah.  

 

Angka itu termasuk daripada 10% atau 3,368,294,078 tawaran persendirian daripada jumlah keseluruhan saham yang dicadangkan syarikat berkenaan, demikian makluman SDHB di Bursa Malaysia. 

 

“Tawaran persendirian itu akan ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing serta mereka yang tergolong dalam Jadual 6 dan/atau 7 CMSA. 

 

“Tawaran persendirian dan terbitan saham kepada Datuk Karim mungkin akan dilaksanakan dalam satu atau beberapa tranche dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusan daripada Bursa Securities bagi penyenaraian dan sebut harga bagi penawaran saham Pasaran Utama Bursa Securities atau tempoh lanjutan yang diluluskan,” kata SDHB.

 

Dalam makluman sama, SDHB telah menentukan jumlah tawaran saham maksimum yang diperuntukkan kepada Mohd. Abdul Karim dan/atau individu berkaitan. 

 

Maka, jelas SDHB, tawaran itu tidak akan menyebabkan pemegangan saham oleh Mohd. Abdul Karim dan individu berkaitan melebihi 32.9% daripada modal saham diterbitkan; atau pemegangan terkumpul oleh mereka tidak akan meningkat lebih 2% dalam tempoh enam bulan selepas pengambilalihan berjaya.

 

Ini bagi memastikan pelaksanaan itu tidak akan mencetuskan tawaran berwajib oleh Mohd. Abdul Karim dan / atau orang yang berhubung dengannya.

 

Menurut SDHB, pelaksanaan itu membolehkan kumpulan syarikat menguruskan tahap mudah tunai dan penggearan dalam membiayai operasi semasa serta pertumbuhan pada masa akan datang. 

 

“Ini akan menyediakan modal bekerja kepada projek di Abu Dhabi. Berdasarkan pengalaman kumpulan syarikat, margin keuntungan kasar bagi projek kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPCC) di luar negara biasanya dalam julat 12% dan 20%, tanpa sebarang kesulitan. 

 

“Pelaksanaan ini juga menyediakan modal bekerja bagi menambah baik kemudahan pengeluaran di TR Yard untuk mengembalikan semula keupayaan operasi, memandangkan ia  tidak lengkap untuk memulakan operasi,” tambah makluman itu.

 

Setakat 9.01 pagi, harga saham SDHB mencecah RM1.70, menyusut RM0.03 daripada paras yang ditutup, RM1.70. - DagangNews.com