Shopee Digital Platform Upskilling Summit lengkapkan 1,000 penjual tempatan dengan ilmu peraturan kerajaan | DagangNews Skip to main content

Shopee Digital Platform Upskilling Summit lengkapkan 1,000 penjual tempatan dengan ilmu peraturan kerajaan

Peserta dan pakar dari KKM, KPDN dan JAKIM di Shopee Digital Upskilling Summit siri kedua
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - Shopee Malaysia menamatkan siri kedua Shopee Digital Platform Upskilling, sebuah inisiatif perintis yang memperkasakan lebih 1,000 penjual tempatan dengan ilmu peraturan kerajaan.

 

Dengan kerjasama agensi kerajaan, program lima siri itu menyasar untuk membantu penjual memahami pematuhan undang-undang, ketulenan produk dan kepercayaan pengguna.

 

Shopee berkata inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan PMKS dan pekerja gig sambil memupuk pertumbuhan mampan dalam ekonomi digital Malaysia.

 

"Siri pertama melibatkan pakar dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkongsi tentang pendaftaran perniagaan, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) juga mengadakan sesi pensijilan produk, manakala Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) membincangkan perlindungan harta intelek. 

 

"Selain itu, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (PCD) Kementerian Kesihatan Malaysia juga berkongsi panduan mengenai peraturan produk kecantikan dan penjagaan kulit.

 

"Siri kedua pula memfokuskan regulasi lebih mendalam seperti sesi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang undang-undang pengiklanan makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membimbing penjual tentang selok-belok peraturan harga dan barang tiruan.

 

"Kami juga melancarkan sesi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memberi tumpuan kepada kesedaran Halal, mendidik penjual mengenai proses pensijilan dan memastikan produk mereka mematuhi undang-undang pemakanan Islam," ulasnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Badruzzaman Abdul Rahim dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM mengulas tentang nilai pendidikan sidang kemuncak yang membawa manfaat kepada  penjual Shopee untuk memahami dengan lebih mendalam tentang peraturan pengiklanan makanan. 

 

"Sesi ini melengkapkan penjual dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk mematuhi undang-undang dengan yakin lalu memupuk pasaran yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai,” katanya. 

 

Selain itu, Shopee berkata, peserta juga mendapat manfaat daripada sesi Shopee University yang berkongsi tentang kaedah untuk meningkatkan trafik ke kedai, meningkatkan jualan dan mengoptimumkan penyenaraian menggunakan alat canggih seperti ChatGPT. 

 

Sementara itu, pemilik Umairah Homemade Cakes di Shopee, Bibi Farizona Mahdi berkata program tersebut amat informatif untuk memahami lebih lanjut tentang regulasi kerajaan. 

 

"Maklumat yang disampaikan adalah penting untuk kami patuhi dan selanjutnya boleh membantu memajukan perniagaan kami,” jelas beliau. - DagangNews.com