Sime Darby Plantation cadang tukar nama kepada SD Guthrie | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation cadang tukar nama kepada SD Guthrie

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 April - Sime Darby Plantation Berhad mengemukakan cadangan untuk menukar nama kepada SD Guthrie Berhad.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, nama cadangan 'SD Guthrie Berhad' telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 April 2024.

 

Sime Darby Plantation yang merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia berkata, buat masa ini tempahan nama yang dicadangkan itu sah sehingga 2 Jun 2024.

 

"Cadangan pertukaran nama adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

 

"Pekeliling kepada pemegang saham dengan butiran Cadangan Pertukaran Nama akan dikeluarkan kepada pemegang saham syarikat dalam masa terdekat," kata Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation hari ini.

 

Tambah pemakluman itu, Cadangan Pertukaran Nama jika diluluskan oleh pemegang saham akan berkuat kuasa dari tarikh pengeluaran Notis Pendaftaran Nama Baru oleh SSM kepada syarikat.

 

Sime Darby Plantation bermula sebagai sebuah syarikat perdagangan di Singapura pada tahun 1821 dan dikenali sebagai Guthrie & Co. Ia kemudian telah berkembang menjadi salah satu syarikat perladangan terbesar dunia, melalui pelbagai usaha pembangunan korporat.

 

Sime Darby Plantation disenaraikan di Bursa Malaysia pada 30 November 2017 selepas pengasingan daripada syarikat induk, Sime Darby Berhad.

 

Hampir dua dekad lalu iaitu pada 2006, syarikat tujuan khas (SPV) yang dipanggil Synergy Drive ditubuhkan untuk memperoleh semua aset dan liabiliti Sime Darby Berhad, Kumpulan Guthrie Berhad dan Golden Hope Berhad.

 

Setahun kemudian, Synergy Drive yang baru ditubuhkan disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai Kumpulan Sime Darby dengan permodalan pasaran RM59.5 bilion – hampir 80% lebih daripada RM31.6 bilion asalnya pada permulaan proses penggabungan.

 

sdp
Pada1936, Sime Darby memindahkan ibu pejabat ke Singapura dari Melaka. Gambar laman web SD Plantation

 

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Sime Darby Plantation berkata, keputusan penjenamaan semula itu dibuat selepas beberapa bulan perbincangan dengan pakar dalam bidang undang-undang, harta intelek dan identiti jenama.

 

Tambahnya, dengan mencadangkan SD Guthrie sebagai jenama baharu, syarikat berhasrat untuk tampil sebagai perniagaan bersepadu sepenuhnya dalam industri sawit, di samping mengembangkan potensi perniagaannya melangkaui perladangan huluan. 

 

"Jenama SD Guthrie, memberi penghormatan kepada sejarah syarikat yang pada masa lalu pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan Sime Darby, serta susur galurnya lebih 200 tahun melalui salah seorang pengasas bernama Alexander Guthrie. 

 

"Kisah penubuhan Guthrie adalah sejarah yang penuh dengan gambaran cita-cita, daya usaha dan daya tahan pengasasnya serta para pemimpin Malaysia yang mengambil alih kepimpinan syarikat tersebut - nilai-nilai yang terus diterapkan sehingga ke hari ini," jelasnya.

 

Kata syarikat itu, jenama Sime Darby dimiliki dan diselia oleh Sime Darby Berhad, bekas syarikat induk Sime Darby Plantation. 

 

sime

 

"Sejak pengasingan dan penyenaraian Sime Darby Plantation lebih enam tahun yang lalu, syarikat tersebut telah beroperasi di bawah sistem pelesenan, tertakluk kepada syarat perjanjian pelesenan jenama dan tanda dagangan, serta membayar yuran tahunan untuk penggunaan jenama "Sime Darby". 

 

"Keadaan ini merupakan satu kekangan yang besar terhadap keupayaan Sime Darby Plantation untuk membuat sebarang keputusan strategik berhubung kepentingan jenama dan perniagaannya," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi SimeDarby Plantation, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, sebagai pemilik hartanah di Malaysia, terdapat pelbagai lagi peluang untuk mencipta nilai bagi kepentingan para pemegang saham.

 

“Ini adalah satu perkembangan yang amat bermakna dalam sejarah 200 tahun syarikat ini, satu detik yang begitu penting bagi kami sebagai sebuah organisasi,” katanya. - DagangNews.com