KUALA LUMPUR 24 Mei - Sime Darby Property Berhad menerima kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi cadangan pengambilalihan tiga bidang tanah pegangan bebas dengan harga RM618 juta di Kapar, Klang.
Pengambilalihan tanah itu adalah selaras dengan strategi SHIFT25 kumpulan itu yang bertujuan untuk mengubah syarikat daripada pemaju hartanah kepada syarikat hartanah dengan mempelbagaikan aliran pendapatannya.
Langkah strategik itu akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan perniagaan pembangunan perindustrian dan logistik mereka.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican berkata, pengambilalihan tanah itu bersesuaian secara langsung dengan strategi untuk mengukuhkan portfolio pembangunan perindustrian.
"Ia merupakan peristiwa penting dalam perjalanan transformasi kami untuk menjadi sebuah kumpulan hartanah yang mampan dan inovatif," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuara Agung Luar Biasa (EGM), hari ini.
Tanah yang terletak di dalam Bandar Bukit Raja itu berdekatan dengan bandar-bandar utama seperti Klang dan Shah Alam, ditambah pula dengan ketersambungan yang sangat baik melalui pembinaan berterusan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Barat (“WCE”), meletakkannya sebagai lokasi yang ideal untuk perniagaan perindustrian dan logistik.
Cadangan pembangunan tanah Kapar akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, dengan anggaran nilai pembangunan kasar antara RM5 bilion dan RM6 bilion.
Azmir berkata, pihaknya teruja dengan potensi tanah berkenaan dalam menyumbang kepada pendapatan masa depan kumpulan dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam sektor pembangunan perindustrian.
"Dengan lokasinya yang strategik dan keluasan kawasan yang luas, cadangan pembangunan itu akan menawarkan peluang menarik untuk perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi," katanya. - DagangNews.com