Singapura sedia terima cadangan baharu dari Malaysia berhubung Projek HSR | DagangNews Skip to main content

Singapura sedia terima cadangan baharu dari Malaysia berhubung Projek HSR

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong negara itu berbesar hari untuk menerima cadangan baharu dari Malaysia berhubung pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk menghentikan projek itu.

 

Beliau berkata, menteri pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu dan Singapura berminat untuk menerima lebih banyak maklumat dari Malaysia.

 

"Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan agar perbincangan mengenai projek HSR itu kembali diadakan. Saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia sebelum ini bersetuju untuk menamatkan projek HSR dan secara dasarnya projek ini sudah dihentikan.

 

"Bagaimanapun, Singapura terbuka kepada sebarang cadangan baharu dari Malaysia berhubung projek HSR dan menteri pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara ini.

 

"Singapura bersedia untuk menerima maklumat lanjut mengenainya supaya kami boleh menjalankan kajian terperinci dan mempertimbangkan perkara ini bermula dari awal," katanya dalam sidang media bersama Ismail Sabri, lapor Bernama.

 

Sidang media bersama itu diadakan bersempena dengan pelancaran Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) sempadan darat di Singapura. 

 

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan secara bersama mengenai pembatalan projek HSR selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan kepada perubahan terma yang dibuat Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Disember 2020.

 

Mac lalu, Malaysia mengumumkan pembayaran pampasan sebanyak S$102.8 juta (RM318.14 juta) kepada Singapura bagi kos pembatalan projek berkenaan.

 

Sementara itu, Hsien Loong berkata, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sedang berjalan mengikut jadual dan kedua-dua negara menjangkakan sistem itu akan tersedia kepada pengguna pada penghujung 2026.

 

RTS Link merupakan projek laluan kereta api sepanjang empat kilometer yang menghubungkan antara Terminal Woodlands North di Singapura dan Terminal Bukit Chagar di Johor Bahru, Malaysia.

 

RTS Link dianggarkan mempunyai kapasiti untuk mengangkut sehingga 10,000 penumpang setiap jam ke setiap arah.-Dagangnews.com