Sistem perbankan Bank Rakyat kekal selamat, komited telus kepada pelanggan | DagangNews Skip to main content

Sistem perbankan Bank Rakyat kekal selamat, komited telus kepada pelanggan

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept - Bank Rakyat menegaskan sistem perbankannya kekal selamat dan sentiasa mengutamakan kepentingan pelanggan, susulan dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

 

Bank Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius kebimbangan dakwaan itu dan komited terhadap ketelusan, selain terus meningkatkan daya tahan operasi bagi memastikan perkhidmatan perbankan kekal kondusif dan selamat.

 

“Bank Rakyat kekal komited terhadap ketelusan dan mengutamakan kepentingan pelanggan melalui pembangunan teknologi berterusan untuk meningkatkan lagi kemantapan dan meningkatkan daya tahan operasi.

 

“Ini bagi memastikan Bank Rakyat dapat menyediakan perkhidmatan perbankan yang selesa dan selamat kepada pelanggan kami,” katanya.

 

Bank Rakyat juga telah mengambil langkah proaktif dengan memaklumkan pelanggan secara individu melalui surat dan sistem pesanan ringkas (SMS), selain daripada meningkatkan kesedaran pelanggannya tentang langkah keselamatan siber.

 

Insiden yang didakwa juga telah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan Bank Rakyat menegaskan semua operasi perniagaan berjalan seperti biasa dengan integriti dan keselamatan perbankan tetap menjadi keutamaan.

 

Pelanggan yang mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan digesa untuk segera menghubungi pusat panggilan Bank Rakyat di talian 1300-800-800 atau 03-5526-9200 atau menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional di 997.

 

Pada 3 September, Bank Rakyat mengeluarkan amaran mengenai pautan pancingan data (phishing) dan telah berjaya menemui potensi pelanggaran data yang mungkin melibatkan beberapa maklumat pelanggan.

 

Sementara itu, Bank Rakyat berkata, ia tetap komited terhadap ketelusan dan telah memaklumkan pelanggan sewajarnya. - DagangNews.com