SMTrack sangkal dakwaan terlibat dengan RFID, pertimbang tindakan undang-undang | DagangNews Skip to main content

SMTrack sangkal dakwaan terlibat dengan RFID, pertimbang tindakan undang-undang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Pakar identifikasi menerusi Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) yang disenaraikan di Bursa Malaysia, SMTrack Berhad (SMTrack), menyangkal tuduhan tidak berasas terhadap syarikat itu berhubung pelaksanaan RFID di plaza tol.

 

Tuduhan yang dilemparkan di laman web dan media sosial itu mempunyai reputasi teruk terhadap integriti SMTrack dan telah menjejaskan keyakinan pelabur.

 

SMTrack tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan tidak berasas bagi melindungi integriti syarikat.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif SMTrack Berhad, Azmi Osman berkata, beliau menafikan tuduhan penglibatannya dalam projek RFID di semua tol plaza pada masa sekarang.

 

Jelasnya, pihaknya memutuskan menyangkal dakwaan tidak berasas ini sebagai tujuan berdiri kukuh bersama pengarah eksekutif bukan bebas syarikat dan pemegang saham.

 

“Sehingga kini, SMTrack tidak terbabit dalam projek RFID di semua tol plaza. Sebagai syarikat mahir dan berpengalaman dalam penyelesaian RFID, kami percaya terhadap nilai tambah yang mana teknologinya akan memberi manfaat kepada komuniti. 

 

"Kami percaya pengenalan RFID di semua tol plaza akan meningkatkan kecekapan dan trafik. Ini kerana ujian telah dilaksanakan dan digunakan sejak lebih daripada dua tahun.

 

"Perjalanan akan menjadi lebih lancar, dan kami percaya boleh menyumbang kepada projek bagi menyumbang kemudahan umum. Bagaimanapun, pada masa ini kami tidak terbabit dengan projek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, Azmi turut menyangkal dakwaan pelantikan Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusiff sebagai Pengarah Eksekutif Bukan Bebas syarikat adalah berkaitan dengan hubungan politik.

 

“Pelantikan Saiful Nizam sebagai Pengarah Eksekutif Bukan Bebas tidak ada kena mengena dengan hubungan politik dan dilaksanakan berasaskan kepada merit dan pengalaman.

 

“Kumpulan tidak akan mendiskriminasikan mana-mana individu kerana latar belakang dan akan mengambil langkah tambahan untuk mendedahkan sebarang potensi konflik kepentingan sekiranya ada.  Sebagai pengarah bebas, Saiful Nizam tidak terbabit dengan keputusan perniagaan dan operasi hari ke hari,” katanya.

 

Sementara itu, Azmi berkata, syarikat tersebut tidak terlibat dengan Tan Sri Lee Kim Yew dalam usaha melobi sebarang projek SMTrack, meskipun Tan Sri Lee adalah pemegang saham terbesar dalam kumpulan.

 

“SMTrack adalah entiti senaraian awam dan mana-mana pelabur berkeyakinan terhadap syarikat boleh melabur di dalam syarikat melalui pasaran terbuka. Kami berbangga kerana Kim Yew melihat potensi yang ada dalam kumpulan dan membuat keputusan berasaskan kepada kapasiti pelaburannya sendiri. 

 

"Bagaimanapun, kami mengulangi kenyataan bahawa Kim Yew bukan sebahagian daripada kumpulan yang terlibat dalam operasi dan strategik serta tidak terlibat dalam sebarang projek yang dilobi untuk kumpulan,” katanya.

 

Beliau berkata, propaganda politik yang dihebahkan terhadap SMTrack adalah tidak bertanggungjawab.  

 

Katanya, tuduhan tidak berasas dan pembohongan daripada pihak tidak bertanggungjawab akan mengelirukan dan menjatuhkan reputasi kepada umum mengenainya sebagai entiti senaraian awam dan integritinya dalam pasaran modal Malaysia serta mengelirukan manfaat daripada teknologi RFID. 

 

“Tuduhan tidak berasas telah memberi kesan negatif kepada integriti syarikat dan pasaran modal Malaysia, yang mana ia menjadi pemacu kepada pertumbuhan dalam negara.

 

Tambah beliau, pihaknya merayu kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai penipuan tersebut. - DagangNews.com