SEJAK berpindah ke Shah Alam lebih kurang 30 tahun lepas, antara aktiviti mingguan paling seronok yang kerap kami sekeluarga buat adalah berjalan-jalan di Stadium Shah Alam. Orang Shah Alam pasti faham apa tarikannya yang menyeronokkan.
Satu ikon kebanggaan bukan sahaja bagi peminat bola sepak tapi seluruh warga Selangor seperti kami - maklumlah kawasan Stadium sudah menjadi pusat pelbagai aktiviti; daripada pasar tani ke pusat sukan ekstrem sehinggalah tempat bermain go-kart.
Jika ada yang masih ingat, satu ketika dahulu, tempat ini juga pernah menjadi stesen bas sementara untuk Shah Alam.
Namun sejak beberapa tahun ini, kalau lalu melepasi kawasan tersebut, apa yang dapat dilihat adalah keadaan stadium tercinta kita yang kini sudah uzur.
Bila saya mula membaca tentang berita kemungkinan stadium ini akan diroboh atau dibina semula, bercampur baur emosi yang timbul, yang saya percaya ramai juga merasakan perkara yang sama. Lebih-lebih lagi untuk kami yang sudah lama berkampung di Shah Alam ini.
Kalau roboh memang sayang dan rindu, tetapi melihat kepada keadaan semasanya, saya percaya langkah drastik amat diperlukan.
Apa guna jika kita tidak lagi dapat beriadah di sana pada hujung minggu dan keadaan stadium juga dilaporkan tidak lagi selamat membuatkan tiada orang yang berani untuk berjoging mahupun meletakkan kereta.
Kawasan tersebut kini sunyi, ditambah pula berisiko banjir. Sayang sekali melihat nasib stadium Shah Alam yang dahulu megah berdiri, menjadi tumpuan dan meriah dengan aktiviti orang ramai.
Jika keadaan ini berterusan dan kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan atau melakukan pembaikpulihan stadium, berani saya katakan bahawa kompleks ini mungkin akan terus menjadi kawasan terbiar yang boleh mengundang pelbagai lagi perkara yang tidak diingini.
Oleh itu, penambahbaikan ataupun pembinaan semula merupakan satu tindakan yang nampak wajar dilakukan dan amat dialu-alukan oleh warga Shah Alam seperti saya.
Walaupun saya dan rakan-rakan seusia mungkin akan beremosi seketika mengimbau kenangan lama, namun memikirkan rupa baru stadium ini dan bagaimana keadaan sekitarnya akan ditambahbaik, pastinya keterujaan itu akan mengatasi nostalgia yang ada.
Bayangkanlah manfaatnya untuk masa depan termasuk buat anak dan cucu saya sendiri. Saya amat menantikan wajah baru stadium ini dan harapnya ia akan menjadi kebanggaan kita warga Selangor, khususnya untuk penduduk Shah Alam.
Saya ada juga terfikir akan kos pembiayaannya - takkan wang cukai rakyat nak digunakan ketika kita sedang bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat ini? Namun lega rasanya apabila mendapat tahu bahawa kos akan dibiayai oleh pemaju melalui usaha sama awam-swasta.
Mungkin kerajaan negeri juga boleh pertimbangkan untuk mengintegrasikan pembangunan stadium dengan elemen lain seperti perumahan, pejabat dan komersial supaya mampu segera merancakkan ekonomi di kawasan kompleks tersebut dan menjadikan projek ini lestari dari segi kewangan pada masa hadapan.
Sebagai penduduk Shah Alam, saya menantikan perubahan positif terhadap stadium ini dan ingin juga melihat ia dapat memainkan peranan untuk menyumbang kepada kemajuan sukan negeri mahupun negara untuk menjadi lebih cemerlang.
Lebih-lebih, kawasan riadah kami nanti diharapkan akan jadi lebih moden dan canggih dengan kemudahan dan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik.
Harapan saya agar pihak kerajaan negeri dan pemaju yang terlibat akan mengutamakan keselamatan jangka panjang dan prihatin terhadap kehendak rakyat dalam usaha pembinaan stadium yang bertaraf dunia. Jangan dilupa juga perihal kelestarian alam sekitar jika stadium dan kawasan sekitarnya dibangunkan semula.
Stadium Shah Alam mungkin akan “hilang” di mata kita namun tidak sekali-kali dari hati dan ingatan. Saya juga percaya apa yang kita akan perolehi nanti pasti jauh lebih baik dan bermanfaat, apatah lagi apabila mengingatkan kata kata Dato’ Menteri Besar Selangor yang stadium ini akan menjadi lebih baik dari “Anfield”. Saya pegang pada harapan tersebut.
Jadi, usahlah kita beradu dalam nostalgia lama, lebih baik kita pandang ke hadapan dan beri sokongan untuk dibangunkan kembali stadium ini demi kebaikan semua.
Sungguh tak sabar menanti hari untuk menonton bola, konsert besar dan kembali berjalan-jalan di stadium semula.