Stok MSM dijangka jatuh paras terendah sejak 2007 - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Stok MSM dijangka jatuh paras terendah sejak 2007 - CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - CGS-CIMB Futures mengunjurkan stok minyak sawit mentah (MSM) pada akhir Disember jatuh pada paras terendah sejak Jun 2007. 

 

Ia dijangka susut 23% bagi bulan ke bulan dan 40% tahun ke tahun kepada 1.21 juta tan metrik. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Ivy Ng Lee Fang berkata, dalam tempoh sejak 10 tahun lalu, inventori minyak sawit Malaysia telah mencatat purata penurunan sekitar 1.8% bulan ke bulan bagi Disember. 

 

"Stok pada Disember juga berada pada purata 2.3 juta tan metrik dalam tempoh itu," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Kaji selidik yang dijalankan firma penyelidikan itu juga menunjukkan pengeluaran MSM dijangka susut 11.1% bulan ke bulan kepada 1.33 juta tan metrik pada Disember. 

 

Masalah kekurangan tenaga buruh yang disebabkan pembekuan permit dan keadaan cuaca turut memberi kesan kepada penuaian dan pemindahan akibat fenomena La Nina di beberapa kawasan di negara ini. 

 

Eksport pula diunjur berkembang 19% kepada 1.55 juta tan metrik pada Disember berdasarkan statistik eksport oleh kargo Intertek Testing Services dan Amspec Malaysia. 

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengeluarkan data rasmi pada 11 Januari ini.

 

Lee Fang berkata, pelaksanaan semula cukai eksport pada 1 Januari 2021 menyebabkan peniaga mengambil kesempatan untuk mengeksport lebih banyak minyak sawit. 

 

Malaysia akan melaksanakan cukai itu pada kadar 8% mulai 1 hingga 31 Januari 2021. 

 

"Data Intertek menunjukkan eksport ke India meningkat 77%. Kami melihat keadaan ini disebabkan India mengurangkan duti import sebanyak 10% kepada 27.5% mulai 27 November 2020," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan harga MSM akan berlegar sekitar RM3,200 hingga RM3,600 satu tan metrik pada Januari. 

 

Bagi Disember, harga MSM meningkat 6% bulan ke bulan dan 28% tahun ke tahun kepada RM3,620 satu tan metrik disebabkan kebimbangan paras inventori di Malaysia dan Indonesia serta kekalangan bekalan daripada pesaing minyak boleh dimakan yang lain.

 

"Inventori yang lebih rendah di Malaysia dan mengambil masa untuk meningkatkannya semula dan kemungkinan berlaku gangguan bekalan pada Januari ekoran banjir di Johor dan Pahang, akan menyokong harga minyak sawit," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, bekalan minyak sawit mentah dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini sekiranya keadaan cuaca kembali seperti sedia kala. - DagangNews.com