KUALA LUMPUR 27 Okt - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.
Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang diPertuan Agong bagi tempoh sama.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Perenggan 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial, lapor Bernama.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru.
Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan mendirikan rumah tangga bersama Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1982 serta dikurniakan enam cahaya mata iaitu lima putera dan seorang puteri.
Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015. - DagangNews.com