KUALA LUMPUR 27 Okt - Sunway Property mengesahkan bahawa Umech Land Sdn. Bhd. (Umech) sudah menerima bayaran balik deposit berjumlah RM64.6 juta daripada Penang Development Corporation (PDC) selepas pembatalan perjanjian kerjasama bagi pembangunan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2).
Kumpulan itu juga mengesahkan bahawa mereka telah menerima surat penamatan kontrak bertarikh 20 Oktober 2023 diterima pada 24 Oktober lalu.
"PDC telah melaksanakan haknya di bawah klausa 19.1.1 dalam Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) bagi penamatan awal.
"Oleh itu, di bawah klausa 19.1.2 JDA, PDC akan memberikan bayaran balik penuh bagi semua deposit yang dibayar oleh Umech, berjumlah RM64,602,071.82, yang telah diterima sepenuhnya oleh Umech hari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, rancangan pembangunan BKIP2 di tanah seluas 226.2 hektar di Byram, Seberang Perai Selatan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM3.5 bilion, di mana Umech Land sebagai pemaju akan membangunkan tanah, bernilai RM646 juta, disediakan oleh PDC dengan kos sendiri
BACA JUGA: Lembaga Pengarah PDC batalkan perjanjian usaha sama dengan Umech Land
Pada Jun 2023, Sunway telah dijemput oleh Umech untuk menyertai projek ini secara usaha sama. Proses usaha wajar terhadap daya maju pembangunan itu bermula selepas kumpulan itu memeterai perjanjian dengan Umech pada 5 Julai 2023.
Selepas itu, Sunway memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dengan Umech pada 21 September 2023, dan JDA telah dilaksanakan antara Umech dan PDC pada 27 September 2023.
"Sunway menghormati keputusan PDC untuk menamatkan JDA dan menerima keadaan yang membawa kepada keputusan ini.
"Sunway sentiasa bertindak dengan niat baik, seperti semua transaksi tanah yang lain, dan menghargai tindakan yang diambil oleh PDC untuk mencerminkan perkara ini," katanya. - DagangNews.com