Sunway REIT positif terhadap prospek 2023 didorong pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT positif terhadap prospek 2023 didorong pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) positif dengan prospek untuk tahun kewangan 2023, disokong pertumbuhan ekonomi domestik yang stabil, sektor runcit dan pemulihan dalam segmen hotel.

 

Keyakinan itu disokong oleh sumbangan pendapatan setahun penuh daripada Sunway Carnival Mall (New Wing) dan Sunway Resort Hotel.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, pihaknya memantau dengan teliti aliran inflasi dan kadar faedah walaupun inflasi menurun sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

Katanya, pihaknya berusaha untuk mengetepikan kesan kos faedah yang lebih tinggi melalui strategi pengurusan modal yang dinamik dan mencapai pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lebih tinggi daripada portfolio aset sedia ada dan pemerolehan baharu.

 

"Sunway REIT sedang giat mengejar peluang pemerolehan dan menyasarkan untuk mencapai kemajuan pengambilalihan pada tahun kewangan ini," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagi FY22, Sunway REIT mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM323.56 juta, iaitu peningkatan 153% berbanding tahun sebelumnya dengan hasil sebanyak RM651.45 juta, meningkat 37.92% daripada 2021.

 

sunway
Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip

 

 

Selaras dengan prestasi itu, REIT mencadangkan pengagihan seunit (DPU) lima sen bagi tempoh enam bulan hingga 31 Disember 2022, yang mewakili peningkatan 79% berbanding tempoh yang sama pada 2021.

 

Jumlah DPU bagi tahun itu meningkat dua kali ganda kepada 9.22 sen, yang diterjemahkan kepada hasil pengagihan sebanyak 6.3% berdasarkan harga unit REIT sebanyak RM1.46 pada 31 Disember 2022.

 

Bagi suku keempat sahaja, Sunway REIT mencatatkan keuntungan bersih RM50.82 juta, lebih tiga kali ganda keuntungan bersih RM16.19 juta pada 4QFY21.

 

Hasil juga meningkat kepada RM186.72 juta daripada RM157.8 juta pada suku perbandingan sebelumnya. - DagangNews.com