Sunway sasar penjualan baharu FY21 RM1.6 bilion | DagangNews Skip to main content

Sunway sasar penjualan baharu FY21 RM1.6 bilion

Sunway Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Sunway Berhad meletakkan sasaran penjualan baharu yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2021 (FY21) iaitu RM1.6 bilion.

 

MIDF Research berkata, sasaran itu disandarkan kepada pelancaran perancangan nilai pembangunan kasar (GDV) yang berjumlah RM2.8 bilion.

 

"Pelancaran utama untuk tahun kewangan 2021 merangkumi projek luar negara iaitu Parc Central Residences (GDV:RM910 juta) di Singapura dan Sunway Gardens Phase 3 (GDV:RM780 juta) di China.

 

"Sementara itu, projek tempatan yang akan dilancarkan pada tahun kewangan 2021 turut termasuk Sunway Belfield Fasa 1 (GDV:RM320 juta) di Jalan Belfield KL, Sunway ARTESSA (GDV:RM300 juta) di Wangsa Maju KL, Sunway Damansara Hill (GDV:RM220 juta) di Kota Damansara KL dan Sunway Kajang Fasa 1 (GDV:RM270 juta) di Kajang Selangor," jelas MIDF Research.

 

Bagi tahun kewangan 2020, Sunway mencatatkan jumlah penjualan baharu sebanyak RM1.3 bilion sekali gus melebihi sasaran RM1.1 bilion.

 

Sunway mencapai julan hartanah baharu sebanyak RM270 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2020 sekali gus menjadikan jumlah penjualan baharu sebanyak RM943 juta untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020.

 

Dalam aspek pendapatan pula, Sunway mencatatkan pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM192 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20).

 

Penurunan sebanyak -60.3% berbanding tahun sebelumnya itu terjadi kerana sebahagian besar perniagaan dilanda wabak COVID-19.

 

MIDF Research bagaimanapun memberitahu, pihaknya menjangkakan pendapatan yang lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2020.

 

Hal ini kerana jumlah pendapatan Sunway dijangka lebih tinggi yang disumbangkan oleh segmen pembangunan hartanah.

 

Segmen tersebut dijangka meningkat susulan pengiktirafan pendapatan projek Rivercove Residences di Singapura dan Sunway Gardens di China kerana penyerahan projek dijangka berlaku pada suku keempat tahun kewangan 2020.

 

"Kami kekalkan saranan 'neutral' saham Sunway dengan membuat semakan semula harga sasaran sesaham (TP) kepada RM1.42 daripada RM1.34 pada sebelumnya," ujar MIDF Research. - DagangNews.com