Syarikat Ikramatic diberi kepercayaan bina simulator pesawat tempur FA-50M TUDM | DagangNews Skip to main content

Syarikat Ikramatic diberi kepercayaan bina simulator pesawat tempur FA-50M TUDM

Sistem simulator pesawat FA-50 sepertimana yang bakal dibangunkan Ikramatic dengan kerjasama KAI.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 18 Sept - Pembelian 18 pesawat tempur ringan (LCA) FA-50M dari Korea Selatan memberi keuntungan kepada syarikat tempatan apabila kedua-dua negara memeterai program kerjasama industri (ICP).

 

Ia membabitkan kerjasama membangunkan simulator pesawat FA-50M bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Kerjasama tersebut dimeterai antara Korea Aerospace Industries (KAI) dengan syarikat tempatan, Ikramatic Sdn. Bhd. yang mana ini bakal menyaksikan pemindahan teknologi tinggi.

 

 

Memetik laman pertahanan Defence Security Asia, syarikat Ikramatic dan KAI akan membangunkan secara bersama dua simulator penerbangan tersebut.

 

Pesawat
Pengarah Eksekutif Ikramatic, Syed Mohamad Ikram (dua dari kiri) bersama Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin semasa memeterai kerjasama dengan wakil KAI bagi pembinaan simulator pesawat FA-50M.
 

 

Ia melibatkan ‘Full Mission Simulator’ dan ‘Operational Flight Trainer’ yang akan diguna untuk melatih juruterbang TUDM mengendalikan pesawat FA-50M pada tahun 2026.

 

Satu daripada ICP yang dilakukan ialah pembangunan bersama sistem simulator membabitkan perkongsian pengetahuan dan kepakaran untuk memajukan industri tempatan.

 

Syarikat Ikramatic dipilih untuk menjadi penerima ICP oleh KAI atas pengalaman selama 26 tahun membina simulator pesawat buatan tempatan di negara ini.

 

Atas sebab itu, kepercayaan diberikan pihak KAI yang memerlukan rakan industri tempatan yang berdaya saing.

 

Pesawat

 

Pesawat
Ikramatic mempunyai pengalaman 26 tahun dalam membangunkan simulator pesawat bagi kegunaan TUDM.

 

Pada Disember tahun lepas, Ikramatic telah menandatangani kontrak peringkat pertama dan dilantik menjadi vendor kepada KAI bagi projek luar negaranya.

 

Syarikat ini juga telah selesai menjalankan fasa pertama reka bentuk simulator FA-50M pada awal tahun ini yang bakal diteruskan pada fasa reka bentuk.

 

Semasa tawaran kepada kerajaan Malaysia bagi kontrak FA-50M, pihak KAI telah memaklumkan bersedia untuk melaksanakan kerjasama industri dengan syarikat tempatan dalam bidang-bidang tertentu.

 

Ini termasuklah dalam pembangunan sistem simulator pesawat tempur tersebut.

 

Bagi keuntungan jangka panjang, bidang ini akan memperkasakan lagi kemahiran sedia ada syarikat tempatan yang terpilih apabila dapat meneroka teknologi baharu.

 

Pesawat

 

Pesawat
Simulator ISMAT bagi melatih anggota keselamatan menggunakan senjata sama seperti di lapang sasar.

 

Dengan pengguna pesawat sama ada varian FA-50/T-50 yang bertambah khusus di Asia Tenggara, ini memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat sama dalam program sama bagi pengguna KAI.

 

Syarikat Ikramatic mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan simulator bagi kapal terbang dan helikopter.

 

Antaranya simulator pesawat latihan Pilatus PC-7, simulator misi penuh pesawat Aermacchi MB-339-CM dan simulator helikopter AS355N.

 

Ikramatic juga membangunkan Integrated Shooting and Marksmanship Trainer (ISMAT) untuk melatih penggunaan senjata ringan kepada anggota keselamatan. 

 

Sistem ISMAT digunakan di Pusat Olah Perang Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan dengan fungsi pada situasi sebenar menembak di lapang sasar. - DagangNews.com