Syor cukai vape lebih tinggi, tambah hasil negara (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Syor cukai vape lebih tinggi, tambah hasil negara (SURAT PEMBACA)

Gambar hiasan oleh VapeClubMY

 

 

Saudara Pengarang,

 

 

KIRA-KIRA 11 tahun lalu, pasaran tempatan mula dimasuki sejenis rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai ‘vape’ yang kemudian berkembang pesat menjadi satu industri dan kini pasaran domestik produk berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM2.27 bilion.

 

Dalam tempoh beberapa tahun lagi, nilai pasaran industri ini yang kini melibatkan lebih 3,000 penggiat dalam pelbagai aktiviti berkaitan, diramal mencecah RM10 bilion di Malaysia jika ada rangsangan munasabah diberikan oleh kerajaan.  

 

Rantaian pengeluaran vape sangat luas, bermula dari aktiviti pengeluaran bahan mentah kepada pengilangan dan kemudian peruncitan serta eksport dan import. Pada 2019 sahaja, kajian mendapati sebanyak RM450 juta dibelanjakan untuk membayar gaji kira-kira 15,000 pekerja dalam industri ini.

 

Hakikatnya, industri vape di Malaysia terlalu besar dan diramal terus berkembang pesat untuk dibiarkan tanpa sebarang kawal selia melalui penggubalan undang-undang atau peraturan khusus termasuk dalam aspek percukaian yang seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi negara.

 

Kini, negara dilanda kemelut ekonomi ekoran penularan pandemik COVID-19. Rizab negara telah menjunam dengan mendadak selepas ratusan billion ringgit digunakan untuk program pemangkin ekonomi seperti PENJANA, PRIHATIN dan PEMULIH. Dalam keadaan sekarang, apa sahaja punca yang boleh menjana perolehan kepada kerajaan, perlu diberi perhatian menyeluruh.

 

Apa antara punca kewangan baharu peroleh negara? Antara potensi besar adalah industri vape melalui rejimen percukaian yang bersesuaian dengan saiz nilai industri berkenaan.

 

Memang dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Kementerian Kewangan sudah mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan cukai untuk industri vape, namun kadarnya hanya 40 sen bagi setiap milileter (ml) yang dilihat terlalu rendah. Ada yang lebih dikhuatiri jika Kerajan mengenakan cukai yang sama bagi cecair vape mengandungi nikotin dan tanpa nikotin. Walaupun cukai yang sama mudah diselenggara, namun hakikatnya, ia akan membawa kesan yang amat buruk kepada sistem kesihatan negara.

 

Berdasarkan laporan daripada komuniti vape di Malaysia, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada cecair vape yang dijual di pasaran negara ini mengandungi nikotin, lalu jika cukainya rendah, bermakna kerajaan akan mendapat perolehan hasil yang rendah.

 

Mengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia (RTBA Malaysia), kerajaan dijangka memungut hasil lebih RM300 juta jika cukai ke atas vape dilaksanakan dengan sempurna, namun angka itu juga dipercayai jauh lebih rendah berbanding hasil yang sepatutnya masuk ke kantung negara.

 

Hasil satu kajian lain baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, cecair vape yang tidak dikenakan cukai di negara kita sekarang adalah bersamaan 12.5 bilion batang rokok.

 

Menurut seorang pegawai dari syarikat Japan Tobacco International Bhd (JTI) seperti dipetik media, kerajaan boleh memungut cukai sekitar RM5 bilion jika industri vape dikenakan rejimen percukaian seperti dikenakan ke atas industri rokok dan tembakau.  

 

 

jti

 

 

Langkah mengenakan cukai lebih rendah untuk vape boleh dianggap sebagai galakan awal untuk perokok bertukar kepada vape, namun apabila kadar cukai yang dikenakan rendah, perolehan cukai kerajaan juga jatuh dengan ketara.

 

Kadar 40 sen  ke atas cecair vape adalah antara yang paling rendah di dunia, hanya sedikit rendah berbanding kadar purata global yang kini sekitar 82 sen setiap ml. Negara jiran kita, Filipina mengenakan kira-kira RM 3.10 per ml dan Korea Selatan pula pada RM 6.25  setiap ml.

 

Kadar cukai yang tinggi bukan sahaja dapat meningkatkan perolehan kerajaan, malah pada masa sama boleh menghantar mesej bahawa kerajaan juga tidak menggalakkan tabiat menghisap vape.

 

Sama seperti ‘cukai dosa’ atau ‘sin tax’ dikenakan ke atas produk rokok, tembakau serta alkohol bagi mengelak rakyat terjebak atau mereka yang ketagihan rokok atau alkohol meninggalkan tabiat itu, cecair vape juga seharusnya dimasukkan dalam senarai yang sama.

 

Kadar cukai rendah akan menyebabkan harga produk turut menjadi murah, seterusnya melonjakkan permintaan terutama dalam kalangan generasi muda yang rata-ratanya melihat vape sebagai trend terkini dan tidak begitu membebankan kewangan mereka.

 

Lihat sahaja di persekitaran kita. Anak-anak muda, baik lelaki mahupun perempuan dalam penghujung usia remaja dan awal 20-an yang tidak boleh berenggang dengan vape, sentiasa menghembuskan asap yang baunya datang dalam pelbagai perisa memenuhi ruang dalam rumah termasuk di meja makan.

 

Bagi ibu bapa yang tidak begitu peka dengan perkembangan ini, mungkin tidak kisah jika rumah dipenuhi asap dengan bau seperti mangga, nanas atau vanilla.  

 

Apa yang mereka tidak tahu, penghisap vape juga terdedah kepada kesan kesihatan jangka panjang, manakala kerajaan pula hilang peluang untuk mendapatkan perolehan yang sebenarnya begitu besar yang sangat diperlukan dalam usaha memulihkan ekonomi negara ketika ini dan pasca pandemik.

 

Nilai sekurang-kurangnya RM300 juta yang dijangka diperoleh melalui cukai ke atas industri vape sebenarnya hanya sedikit berbanding berbilion ringgit yang terpaksa dikeluarkan kemudian hari bagi membiayai kos perkhidmatan rawatan kesihatan mereka yang mungkin mengalami masalah akibat tabiat menghisap vape.

 

 

vape

 

 

Ketika kita seharusnya menghargai usaha Kementerian Kewangan dalam mencari punca perolehan baharu, ia juga seharusnya berkait dengan usaha mengelakkan promosi tabiat tidak sihat seperti menghisap vape.

 

Ibarat menyelam sambil minum air, selain mencipta sumber perolehan baharu, Kementerian berkenaan juga perlu lebih berani menetapkan kadar cukai bagi industri vape dengan melihat potensi perkembangan dan kesan sosial yang boleh dicetuskannya kepada kehidupan rakyat, terutama belia.

 

Tetapkan kadar cukai lebih tinggi, hantar mesej yang betul kepada pasaran dan rakyat, buat keputusan yang tepat serta bertanggungjawab serta usah mudah tunduk kepada pelobi-pelobi supaya hasil yang sepatutnya dijana daripada industri vape ini tidak terlepas begitu sahaja.

 

Perdana Menteri yang baharu, Dato Seri Ismail Sabri harus berani dan bijaksana dalam menangani polemik vape di kalangan masyarakat. Kerajaan harus tegas dan tidak berkompromi dengan hasutan dan bisikan peniaga vape yang mahukan permintaan produk mereka kekal tinggi. Perdana Menteri seharusnya mengarahkan Menteri Kewangan untuk berani meningkatkan cukai cecair vape terutamanya yang bernikotin secepat mungkin dan Menteri Kesihatan perlu bersedia memantau dan mengawal setia produk vape yang berlambak di pasaran.

 

Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah. Lakukan sesuatu untuk mengawal budaya vape di Malaysia. Jangan digadai nasib bangsa, hanya untuk keuntungan dan kesenangan hari ini. - DagangNews.com

 

Ahmad Farhan Adam
Cyberjaya